suria

Rakyat Malaysia dihukum penjara 30 tahun edar dadah di Thailand

BANGKOK: Seorang rakyat Malaysia dihukum penjara 30 tahun dan didenda 500,000 baht (1 baht = 10 sen) kerana mengedar dadah dan tinggal melebihi tempoh masa di Thailand.

Mahkamah Jenayah bagaimanapun mengurangkan separuh daripada hukuman tersebut ke atas David Goh Chee Leong, 40, setelah beliau mengaku bersalah.

Akhbar The Bangkok Post melaporkan Goh ditahan pada 5 Jan lalu di sebuah apartmen sewa di daerah Laksi di sini bersama 2.58 gram serbuk meth yang juga dikenali sebagai "ice", 71.97g ekstasi, 44.71g ketamin dan 8.01g nimetazepam, dadah yang dipasar dengan nama erimin.

Goh juga menghadapi dakwaan pemilikan dadahdadah itu dengan tujuan untuk membekal.

Akhbar tersebut turut melaporkan seorang lagi rakyat Malaysia berumur 31 tahun ditahan Isnin lalu bersama seorang rakannya rakyat Thai di wilayah selatan Satun atas dakwaan menyeludup 2.88g serbuk meth.

Beberapa rakyat Malaysia telah ditahan di Thailand sejak beberapa bulan lalu kerana menyeludup masuk dadah jenis sintetik, termasuk seorang pengurus pemasaran di sebuah agensi pekerja asing yang ditahan di sebuah kondominium mewah di sini dan tiga lagi di Sungai Golok, wilayah Narathiwat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain