suria

A(H1N1): 3 peperiksaan ikut jadual

PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan mengikut jadual walaupun terdapat ancaman penyakit Influenza A (H1N1) manakala cadangan untuk mempercepatkan cuti sekolah pertengahan tahun, yang sepatutnya bermula Ogos 22 ini, belum ditentukan.

Ini diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik Influenza A (H1N1), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

"Semua peperiksaan akan berjalan mengikut jadual. Kalau ada keskes tertentu maka pelajar itu akan diasingkan.

"Jika sekolah itu diberi cuti, mereka yang mengambil peperiksaan perlu balik ke sekolah untuk mengambil peperiksaan mereka.

"Bagi pelajar yang dirawat di hospital, mereka boleh mengambil peperiksaan itu di hospital jika dibenarkan oleh doktor," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Katanya, Kementerian Kesihatan telah diminta meningkatkan simpanan antiviral daripada 10 peratus kepada 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Kini kita ada 10 peratus antiviral yang bernilai RM20 juta dan kini kita perlu mendapatkan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi untuk meningkatkan antiviral ini kepada 20 peratus.

"Permohonan peruntukan akan diminta dari Kementerian Kewangan," katanya.

Muhyiddin juga berkata ujian Influenza A (H1N1) kepada semua jangkitan 'influenz-alikeillness' (ILI) tidak akan dijalankan lagi memandangkan buat masa ini 95 peratus jangkitan ILI ini disebabkan oleh H1N1.

"Mereka yang tergolong dalam kategori ILI akan terus diberi rawatan antiviral. Ujian pengesahan jangkitan Influenza A (H1N1) hanya perlu bagi keskes yang dirawat di hospital. Ujian 'rapid test' Influenza A (H1N1) adalah juga tidak digalakkan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza A (H1N1) serta mempunyai faktor risiko iaitu mengandung, obesiti, asma, penyakit paruparu kronik, diabetik dan imuniti rendah, akan diberi rawatan antiviral serta merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan penyakit itu.

Katanya, semua kerajaan negeri telah diminta untuk mengaktifkan aktiviti pencegahan dan kawalan dan ini termasuk mengaktifkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Mengenai Pandemik H1N1 2009 di peringkat negeri dan daerah untuk membolehkan semua aktiviti kesedaran dilaksanakan dengan lebih berkesan di pelbagai peringkat atau agensi.

Majlis Keselamatan Negara pula akan mengeluarkan garis panduan mengenai penutupan sekolah atau institusi akibat penularan jangkitan penyakit itu.

"Kementerian Pelajaran juga diminta membuat saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas dimulakan.

"Sekiranya pelajar didapati kurang sihat mereka ini perlu diasing dan dinasihatkan berehat di rumah serta mematuhi arahan kesihatan," kata Muhyiddin.

Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas kempen media yang akan dianggotai oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Jawatankuasa ini adalah untuk merancang dan memastikan kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit H1N1 dilaksanakan dengan berkesan.

Ketika ditanya mengenai ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa 5,000 hingga 28,000 orang akan mati akibat penyakit itu di Malaysia, Muhyiddin berkata, itu adalah sekadar ramalan.

"Kita amb il kira ramalan WHO ini. Kita perlu mengawal keadaan dan kita telah mengambil langkahlangkah pencegahan tetapi kita mahu kerjasama rakyat bagi mengelak jangkitan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain