suria

4 lelaki dipenjara 8 tahun sebab kematian tanpa niat

KOTA BHARU: Empat lelaki hari ini masing-masing dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, setelah mengaku salah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang peragut tiga tahun lalu.

Mereka ialah Mohd Zawawi Zainal Abidin, 31, seorang penternak ikan dalam sangkar, Mohd Sufian Shafin 25, petani, Bhahira Fakri, 28 yang bekerja sebagai pencanting batik dan Maizal Yusmawi Mohd Yusof, 27 tahun, seorang buruh kasar, kesemuanya berasal dari Tumpat, Kelantan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd Nasir Ab Rahman, 30, di antara pukul 11.30 malam dan 12 tengah malam pada 19 Oktober 2006 di tepi jalan raya, Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, Bhahira dan Maizal Yusmawi yang datang dari arah belakang terus memeluk dan memukul Mohd Nasir yang ketika itu sedang berbual dengan rakannya.

Mohd Nasir sempat menjerit 'Allah' beberapa kali sebelum Mohd Zawawi dan Mohd Sufian tiba dengan sebuah van berwarna putih, terus menyepak mangsa sebelum orang ramai yang mendengar jeitan mangsa datang ke tempat itu.

Keempat-empat tertuduh kemudiannya membawa Mohd Nasir ke Kampung Berlian, Palekbang, Tumpat dan berhenti di hadapan sebuah kedai runcit kepunyaan Mek Yam Seman, iaitu nenek kepada Mohd Zawawi.

Mek Yam telah diminta untuk membuat pengecaman sama ada mangsa adalah orang yang sama menyamun beliau beberapa bulan sebelumnya.

Pihak polis yang telah dimaklumkan orang ramai yang tiba di tempat itu bagaimanapun mendapati Mohd Nasir dalam keadaan parah dan mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kerana mengalami pendarahan dalam otak dan kecederaan di seluruh badan.

Mohd Zawawi diwakili peguam Wan Abdul Razak Wan Dollah, Mohd Sufian diwakili Ridhuan Ismail, Bhahira diwakili Tara Singh Delip manakala Maizal Yusmawi diwakili Ahmad Zaidi Zainal.

Kesemua tertuduh sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh tetapi pendakwaan kemudian mengemukakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Hukuman yang diperuntukkan ialah penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Hakim Datuk Azman Hussin memerintahkan hukuman kesemua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu Mohd Zawawi pada 21 Okt 2006, Mohd Sufian pada 7 Nov 2006, Bhahira pada 24 Mac 2007 dan Maizal Yusmawi pada 9 Okt 2008.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob.

Kesemua tertuduh kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan dan galeri awam dipenuhi oleh kaum keluarga mereka sejak awal pagi.

Keempat-empat tertuduh ketika mengemukakan rayuan memaklumkan mahkamah mereka telah insaf dan kesal dengan perbuatan masing-masing selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain