suria

H1N1: UPSI dan USM ditutup

KUALA LUMPUR: Dua buah institusi pengajian tinggi (IPT), sebuah kampus pengajian dan sebuah sekolah ditutup hari ini dan semalam selepas beberapa pelajar institusi itu dikesan terkena jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, kampus kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) di Bukit Mertajam diarahkan ditutup selama tujuh hari bermula hari ini manakala Kolej Yayasan Profesional Mara (KYM) Pahang di Kuantan diarahkan tutup seminggu bermula semalam.

Kementerian Kesihatan mengarahkan kampus UPSI ditutup sehingga 3 Ogos dan 14,000 pelajar UPSI diarahkan pulang ke rumah masing-masing selepas 435 pelajar dilaporkan dijangkiti ILI sejak petang semalam.

Hanya kira-kira 4,000 pelajar mendiami asrama di kampus UPSI manakala selebihnya tinggal di luar.

Di IPOH, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Perak berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Pejabat Kesihatan Daerah bagi mendapatkan maklumat bilangan penuntut UPSI yang terlibat dan pertambahan kes jika ada.

"Sehingga kini, kita masih menyiasat sampel darah yang diambil daripada penuntut terbabit bagi mengesahkan sama ada positif influenza A (H1N1)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kesem,ua penuntut yang dijangkiti ILI sebelum ini telah dikuarantin di sebuah blok sebelum arahan penutupan kampus dikeluarkan.

Minggu lepas, semua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar telah diarah tutup selama seminggu selepas 10 sampel darah pelajar yang dijangkiti ILI disah H1N1.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Pooh berkata arahan penutupan sertamerta Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) dan kampus kejuruteraan USM itu adalah bagi mengelak berlaku penularan virus ILI kepada pelajar lain.

"Langkah segera diambil selepas sejumlah pelajar di sekolah berkenaan dan USM dikesan dijangkiti virus seperti influenza atau ILI kerana Kementerian Kesihatan tidak mahu penyakit itu merebak kepada pelajarpelajar lain," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini kerana semua langkah pencegahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diambil.

"Walaupun semakin banyak sekolah dan pusat pengajian di negeri ini ditutup ekoran wabak itu, keadaan penularan penyakit berkenaan terkawal kerana Jabatan Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah segera," katanya.

Phee turut menasihatkan mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan supaya berdisplin dan mematuhi arahan kuarantin yang ditetapkan Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM Mohamad Abdullah menerusi satu kenyataan media di sini berkata USM terpaksa menutup pusat pengajian kejuruteraan berkenaan selepas 20 pelajarnya dikesan dijangkiti penyakit ILI.

Katanya hanya aktiviti akademik serta kuliah ditangguhkan dan ia akan dijadualkan semula nanti.

"Aktiviti lain akan berjalan seperti biasa," katanya.

Di KUANTAN pula, KYPM Pahang ditutup selama seminggu bermula semalam selepas empat pelajarnya disahkan positif influenza A (H1N1).

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar KYPM Naimah Abdul Muttalib berkata pihak pengurusan kolej juga telah mengarahkan supaya semua 1,043 pelajarnya pulang ke kediaman masing-masing.

"Seramai 91 pelajar dikuarantin bermula Jumaat lepas atas arahan Jabatan Kesihatan selepas mengadu demam dan tidak sihat. Selepas melakukan pemeriksaan, seramai 10 orang disyaki H1N1 sebelum mendapati empat orang daripada mereka sah positif H1N1 semalam.

"Semua pelajar juga diarahkan supaya tidak pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan awam dan mereka mesti dijemput keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka juga perlu mengikut arahan keselamatan yang ditetapkan supaya tidak menjangkiti ahli keluarga mereka ketika di rumah, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Naibnaib Canselor/Rektor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pula menasihatkan ibu bapa yang anak-anak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan virus influenza A (H1N1) di kampuskampus IPTA digalakkan mengambil sendiri anakanak mereka.

Ini kerana dengan membiarkan pelajar menggunakan pengangkutan awam akan mendedahkan mereka kepada orang lain serta meningkatkan penularan dan risiko jangkinan wabak berkenaan, katanya.

"Jawatankuasa NaibNaib Canselor dan Rektor IPTA yang bersidang di Universiti Malaysia Kelantan pagi ini menyeru ibu bapa yang anakanak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan jangkitan selesema H1N1 supaya dapat mengambil sendiri anak mereka.

"Bagi pelajar yang menuntut di Sabah dan Sarawak, mereka akan dibantu oleh pihak IPTA masingmasing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkifli yang juga Naib Canselor USM berkata mereka yang terpaksa berada di dalam kampus akan dibantu dengan sewajarnya oleh pihak universiti.

"Semua universiti dengan kerjasama agensi-agensi yang terlibat khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkahlangkah yang perlu untuk menangani hal tersebut," katanya.

Dzulkifli berkata para pelajar pula perlu bekerjasama membuat pemeriksaan di klinik-klinik universiti atau pusat kesihatan berhampiran jika mempunyai simptom terutamanya apabila demam yang tinggi dan berterusan.

Katanya universiti akan melakukan apa sahaja untuk menanganinya namun perlu ditegaskan, bagi kampus-kampus yang terlibat hanya aktiviti akademik yang ditangguhkan seketika manakala urusanurusan lain universiti berjalan seperti biasa.

"Ibu bapa dan pelajar dinasihatkan untuk menghubungi universiti jika perlu dan jangan mempercayai khabar angin," katanya.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata enam institusi pengajian tinggi dan satu kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri itu ditutup seminggu sejak semalam bagi mencegah penularan H1N1.

Dr Robia berkata institusi yang ditutup itu adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang, ILP Mersing, ILP Pasir Gudang, Kolej Radiografi Johor Baharu, Institut Kemahiran Mara (IKM) Larkin dan Politeknik Johor Baharu serta PLKN Sekakap, Mersing.

"Prosedur menutup sementara semua institusi dan kem PLKN sehingga 4 Ogos ini adalah prosedur biasa sebagai langkah berjagajaga," katanya.

Katanya notis mengenai penutupan semua institusi itu sudah ditampal dan diedarkan manakala semua pelatih institut itu juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KUCHING, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bako Kuching diarahkan ditutup selama seminggu bermula hari ini selepas beberapa pelajar di keduadua tempat disyaki dijangkiti influenza A (H1N1) hari ini.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua Miri menjadi sekolah pertama di bahagian itu yang diarahkan ditutup selama seminggu selepas seorang pelajar lelaki dimasukkan ke Hospital Miri berikutan simptom seperti selesema. BERNAMA

Artikel Lain