suria

H1N1: Tiga lagi institusi di Pulau Pinang ditutup

PULAU PINANG: Tiga lagi institusi di negeri ini diarah tutup selama seminggu mulai semalam akibat Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata institusi terbabit ialah Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, Institut Latihan Jururawat Kementerian Kesihatan Bukit Mertajam dan Pusat Latihan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAB).

Beliau berkata ujian dijalankan dalam kes kluster itu dan disahkan positif.

"Pihak berkuasa kesihatan perlu menutup institusi itu untuk mengelakkan penularan," katanya.

Phee meminta mereka yang dijangkiti supaya berdisplin dalam menjalani kuarantin dan perlu mendapatkan rawatan jika suhu badan mereka melebihi 38 darjah celsius.

Sebelum ini, masingmasing sebuah sekolah rendah, politeknik dan institusi pengajian tinggi di negeri ini diarah tutup selepas beberapa penuntut mereka disahkan positif H1N1.

Di MIRI, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua Miri diarah tutup selama seminggu mulai hari ini apabila seorang pelajarnya disyaki dijangkiti H1N1.

Pembantu kanan sekolah berkenaan Albert Ong berkata arahan bertulis mengenai penutupan sekolah itu yang ditandatangani Pegawai Perubatan Bahagian Miri Dr Muhammad Rais Abdullah diterima hari ini.

Sekolah diarah tutup sehingga 3 Ogos, katanya.

Ong berkata sekolah itu mempunyai 2,480 pelajar dan 150 kakitangan.

Beliau menasihatkan pelajar dan kakitangan sekolah terbabit menjalani kuarantin sendiri di rumah sepanjang tempoh itu bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Semalam, seorang pelajar lelaki dari sekolah itu dimasukkan ke Hospital Miri selepas dia mengalami selesema. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain