suria

Anak Samy Vellu: Subra pernah cuba kompromi tanding Timbalan Presiden

S. Vell Paari (kiri) ketika menghadiri sidang media T. Mohan yang mengumumkan hasratnya mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda MIC di Kuala Lumpur pagi tadi. _ foto The Star oleh S.S.KANESAN
S. Vell Paari (kiri) ketika menghadiri sidang media T. Mohan yang mengumumkan hasratnya mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda MIC di Kuala Lumpur pagi tadi. _ foto The Star oleh S.S.KANESAN
S. Vell Paari (kiri) ketika menghadiri sidang media T. Mohan yang mengumumkan hasratnya mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda MIC di Kuala Lumpur pagi tadi. _ foto The Star oleh S.S.KANESAN

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S. Vell Paari yang juga anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mempertahankan pendiriannya ayahnya Jumaat lalu bahawa Datuk S. Subramaniam pernah tawar kompromi bagi persaingan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

"Pada satu pertemuan dua hari selepas pilihan raya umum iaitu pada 11 Mac tahun lalu, kami bertiga ada mengadakan pertemuan atas permintaan Oms P. Thiagarajan (ahli perniagaan). Saya yang aturkan pertemuan itu.

"Pada pertemuan itu Subramaniam berkata beliau sedia untuk menarik balik injunksi ke atas Maika Holdings jika ayah saya (Samy Vellu) sanggup bertindak berkecuali, tidak menyokong mana-mana calon dalam pemilihan (jawatan Timbalan Presiden).

"Ayah saya bersetuju... malah selepas pertemuan itu, Subramaniam juga meminta saya melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia, dan saya bersetuju dan saya telah melepaskan jawatan itu dan tidak bertanding," kata beliau di sini hari ini.

Vell Paari yang juga Penasihat Pergerakan Pemuda MIC menghadiri sidang media yang diadakan oleh Penyelarasnya, T. Mohan, yang mengumumkan hasrat mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda MIC bulan depan.

Pada sidang media Jumaat lalu, Samy Vellu berkata, Subramaniam berkompromi dalam soal itu ketika satu pertemuan kira-kira lima bulan yang lalu.

Samy Vellu, Presiden MIC paling lama menyandang jawatan itu berkata, pertemuan itu diadakan kira-kira lima bulan lalu dengan dimudahcarakan oleh seorang penerima terbaru gelaran Tan Sri.

Subramaniam menafikan wujudnya kompromi sedemikian.

Mengenai kenyataan Subramaniam bahawa Maika Holdings telah menolak tawaran RM149 juta daripada Usaha Tegas untuk membeli anak syarikatnya, Orientasl Capital Insurance tidak sampai 24 jam, Vell Paari mengakui memang ada menerima tawaran tersebut daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, ia terpaksa ditolak selepas perbincangan beberapa kali, yang turut diketahui oleh Subramaniam, kerana dikenakan beberapa syarat sehingga menjejaskan nilai jualan.

Sedangkan kata beliau, tawaran RM129 juta yang diberikan oleh sebuah syarikat terlebih dahulu tidak mengenakan sebarang syarat.

Berhubung laporan bahawa beberapa pemimpin pembangkang mahu mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat MIC di sini Khamis ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung Maika Holdings, Vell Paari berkata, beliau sudah bersedia untuk menemui mereka.

"Saya Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, maka saya yang bertanggungjawab untuk menjelaskan isu ini.

"Saya mengalu-alukan kehadiran mereka... saya dengar pemimpin pembangkang seperti Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang) juga mahu hadir dan beberapa penduduk Kampung Buah Pala akan turut menemui saya pada hari berkenaan.

"Pada pertemuan itu, saya pula akan meminta penjelasan daripada pemimpin pembangkang, mereka juga boleh tanya mereka (tentang pendirian kerajaan negeri berhubung isu Kampung Buah Pala)... apakah cara mereka untuk menyelesaikan isu kampung berkenaan," katanya.

Tegas Vell Paari, beliau tidak mahu merebut sebarang jawatan dalam pemilihan MIC sehingga selesainya masalah Maika Holdings.

Sehubungan itu jelasnya, beliau sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu Maika Holdings yang mempunyai pemegang saham hampir 64,000 orang.

"Pintu pejabat saya sentiasa terbuka," kata beliau sambil menambah, "saya tahu isu Maika Holdings amat sensitif."

Justeru katanya, "bukan saya menghalang untuk menyelesaikan masalah ini."

"... tetapi ia dihalang oleh Nesa (Koperasi Nesa diterajui Subramaniam) dengan memperoleh injuksi mahkamah ke atas Maika Holdings. Semua pihak mengetahui perkara ini.

"Saya banyak berusaha untuk menyelesaikan krisis ini dan Subramaniam turut mengetahui perkara ini. Saya banyak kali mengadakan pertemuan bersamanya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel Lain