suria

Yang diPertuan Agong berangkat acara perarakan kapal berhias

KUCHING: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah semalam berangkat ke Tebingan Sungai Kuching untuk menyaksikan acara perarakan kapal berhias sempena perasmian bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-218.

Turut berangkat menyaksikan acara itu yang penuh gilang-gemilang ialah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama-sama kira-kira 10,000 penduduk tempatan dan pelancong dalam dan luar negara.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri negeri dan persekutuan.

Sebanyak 21 kapal berhias dari pelbagai jabatan, agensi dan badan berkanun kerajaan negeri Sarawak mengambil bahagian pada acara yang berlangsung selama satu jam itu.

Pertunjukan bunga api yang berwarna-warni di hadapan bangunan DUN Sarawak itu yang dibina dengan harga RM300 juta selama 15 minit, mengakhiri acara perarakan kapal berhias tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain