suria

Yang di-Pertuan Agong hadir mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-218 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru Petra Jaya di sini.

Seri Paduka Baginda diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Pemangku Raja Kelantan, Johor oleh Tunku Mahkota Johor, Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu dan Pahang oleh Tengku Besar Pahang.

Ia dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka turut hadir.

Mengiringi Sultan dan Yang Dipertua Negeri pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing kecuali Kelantan dan Pahang yang diwakili Timbalan Menteri Besar masing-masing.

Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah mesyuarat itu selepas kali pertama pada 1972 dan yang kedua pada 1992.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah mengenai pertahanan, keselamatan, agama dan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. BERNAMA

Artikel Lain