suria

Karpal: Hukuman tidak munasabah, satu penghinaan

GADUH...Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal (dua dari kanan) bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din (empat dari kanan) dihalang oleh petugas keselamatan Parlimen ketika bertengkar dengan Anggota Parlimen Puchong, Govind Singh Deo di perkarangan bangunan Parlimen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan hukuman denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno Selangor yang didapati bersalah dalam insiden mengepung beliau hujung Februari lalu sebagai tidak munasabah.

Malah Karpal juga menyifatkan syor agar beliau dan tujuh anggota Dewan Rakyat termasuk tiga ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang tidak menghadiri prosiding agar dikenakan 'hukuman' dalam bentuk pencelaan sebagai "satu penghinaan terhadap wakil rakyat."

"Syor agar tujuh anggota Dewan Rakyat ini dikenakan pencelaan adalah satu penghinaan," kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen tengah hari ini. Beliau mengulas kandungan laporan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap laporan tersebut akan dibahaskan di Dewan Rakyat Khamis ini.

"Jangan setakat bentangkan laporan ini, bahaskan...saya berharap ia akan dibahaskan," katanya.

Karpal berkata, di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian boleh dihukum penjara tujuh tahun.

Justeru, katanya, jawatankuasa itu seharusnya mengesyorkan keempat-empat mereka kepada Ketua Polis Negara untuk diambil tindakan susulan di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, jika laporan itu dibahaskan beliau akan meminta agar mereka dihadapkan di bawah Kanun Keseksaan.

"Hukuman RM1,000 yang disyorkan memberikan isyarat dan mesej yang salah...ia satu penghinaan kepada kami semua," katanya. Jawatankuasa itu menyiasat kejadian sekumpulan pemimpin Umno Selangor yang mengepung Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika memasuki bangunan Parlimen.

Mereka yang didapati bersalah ialah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal.

Difahamkan mereka perlu membuat bayaran denda di Parlimen kerana hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Dalam pada itu lapan anggota Dewan Rakyat termasuk tiga daripadanya ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dikenakan 'hukuman' pencelaan kerana enggan bekerjasama dan menyertai jawatankuasa itu.

Selain Karpal sendiri, mereka yang merupakan saksi ialah Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP), Lim Lip Eng (Segambut-DAP), N. Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR), Fong Kui Lun (Bukit Bintang-DAP).

Ahli jawatankuasa yang tidak bekerjasama pula ialah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS) dan R. Sivarasa (PKR).

Laporan jawatankuasa itu yang ditandatangani oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain