suria

Pakatan tolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat yang mengadakan mesyuarat sejam Majlis Pimpinan tengah hari tadi, menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN.

Idea itu dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hujung tahun lalu dan muncul semula ketika muktamar tahunan parti itu awal bulan ini.

Membacakan kenyataan selepas mesyuarat itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata:

"Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat."

Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar menambah, pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan 11 isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh timbalan-timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung parti komponen Pakatan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menjadi tumpuan isu idea kerajaan perpaduan khususnya di kalangan ahli PAS tidak hadir dalam mesyuarat hari ini.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok tidak kelihatan di Parlimen hari ini.

Mesyuarat ini patut diadakan minggu lalu tetapi ditunda ke hari ini kerana Hadi berada di luar negara.

PAS mengadakan dua pertemuan penting hari ini masing-masing pukul 5 petang dan 9 malam yang dijangka turut membincangkan isu kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, Lim berkata, Pakatan telah melalui pengalaman pertama ikatan pembangkang itu dan telah "bertindak bersama" dalam isu berkenaan.

"Ini menunjukkan perbezaan di pihak BN dan kami akan muncul sebagai (ikatan) yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Hadi pula mendakwa Umno telah mempermaikan isu kerajaan perpaduan "seolah-olah hendak menggambarkan PAS bahawa akan meninggalkan Pakatan."

"Ini satu cara yang sangat jahat, sangat fitnah untuk melaga-lagakan, bukan untuk perpaduan rakyat," kata beliau.

Ketika ditanya adakah PAS akan tetap mengadakan pertemuan dengan Umno, Hadi berkata, jika perbincangan hanya melibatkan isu-isu nasional dan "diberikan hak bersama dalam perbincangan."

"Diberikan hak bersama dalam perbincangan, kita bersedia," katanya.

Artikel Lain