suria

UEM dibenar buat rayuan dalam pertikaian pemegang saham

PUTRAJAYA: Syarikat berkaitan kerajaan, UEM (Group) Bhd, dibenarkan untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung pertikaian mengenai pegangan saham dengan rakan kongsinya dari Singapura melibatkan RM47.2 juta.

Panel Mahkamah Persekutuan terdiri Hakim Datuk Seri S.Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff membenarkan permohonan UEM merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membeli kesemua 49 peratus saham milik syarikat kejuruteraan Genisys Integrated Engineers Pte Ltd dalam syarikat usaha sama mereka.

Ekoran keputusan hari ini, Mahkamah Persekutuan akan menetapkan sama ada Mahkamah Rayuan bertindak betul ketika memerintahkan UEM membeli saham milik Genisys Integrated bagi mengelak satu kebuntuan.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menukar semula keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan UEM menutup UEM Genisys Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1993. UEM memegang 51 peratus saham dalam syarikat itu manakala bakinya dipegang oleh Genisys Integrated.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili UEM manakala Gideon Tan mewakili Genisys Integrated. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain