suria

45 penagih ditahan dalam Ops Tapis

KUALA LUMPUR: Polis menahan 45 orang yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi bersepadu di sekitar ibu negara petang semalam.

Operasi Ops Tapis itu tertumpu di hotel-hotel murah di sekitar kawasan Chow Kit yang dikenal pasti menjadi sarang penagih.

Dalam tempoh sejam sahaja sejak ia bermula 4 petang, 30 lelaki termasuk seorang warga asing dan 15 wanita diberkas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Sulaiman Salleh berkata operasi itu dijalankan hasil maklumat orang ramai serta aduan mengenai gangguan yang dilakukan oleh golongan penagih terbabit.

Operasi itu disertai oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, anggota Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan JSJN Ibupejabat polis Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu Lama di sini kira-kira pukul 3.15 petang, polis menahan sembilan orang termasuk lima wanita kerana positif dadah.

Ketua Bahagian Narkotik IPKKL ACP Kang Chez Chiang berkata polis memeriksa 76 orang termasuk 24 wanita yang berumur antara 18 dan 50 tahun dalam serbuan itu, dan ujian air kencing mendapati sembilan daripada mereka adalah positif dadah.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas satu tiub dadah Ketamin seberat 0.2 gram serta dua plastik lutsinar dadah Ketamin yang beratnya masing-masing 0.7 gram dan 1.1 gram, daripada dua lelaki, dan menurutnya suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya polis turut merampas satu peralatan menghisap dadah Meth dan piring mengandungi sedikit Ketamin bersama beberapa straw di sebuah bilik pusat hiburan itu. BERNAMA

Artikel Lain