suria

Rais: Tiada sambutan 'Di Ambang Merdeka' hormati Ramadan

KUALA LUMPUR: Hari Kemerdekaan ke52 tahun ini akan disambut sederhana kemungkinan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai menghormati bulan Ramadan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata sambutan "Di Ambang Merdeka" bagi mengira detik 12 tengah malam seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, tidak akan diadakan kali ini memandangkan pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini, Rais berkata sesuai dengan bulan puasa, ada cadangan agar tempat sambutan kali ini diubah dari Dataran Merdeka ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan ini akan ditentukan oleh kabinet.

Beliau berkata antara manfaat untuk sambutan perayaan hari kemerdekaan diadakan di stadium ialah ia kawasan tertutup, mempunyai kemudahan asas dan logistik yang lengkap serta mampu memuatkan 100,000 orang pada satu-satu masa.

"Kalau di Padang Merdeka, lebih 20,000 orang bersesaksesak dan panas. Dalam suasana Ramadan, keselesaan tidak dirasai berbanding di stadium," katanya.

Rais berkata sambutan Hari Kemerdekaan kali ini lebih memfokuskan kepada modal insan sejajar dengan konsep 1Malaysia tanpa sebarang pertunjukan kereta berhias.

"Kita akan menonjolkan aspek modal insan atau kemanusiaan lebih daripada yang lain-lain. Ini bermakna generasi muda dan mereka yang bersektor menerusi pembinaan negara akan diutamakan," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan logo sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada 27 Jun ini di Dataran Merdeka dan serentak itu enam lagu 1Malaysia yang dipilih oleh jemaah menteri akan diperdengarkan buat pertama kalinya.

"Sebagai memberi penghargaan sama rata, enam lagu itu akan kita mainkan di radio dan televisyen selepas 27 Jun," katanya.

Rais berkata acara penutupan sambutan Hari Kemerdekaan ke52 akan diadakan di Kuching pada 16 Sept ini. BERNAMA

Artikel Lain