suria

Suhakam siasat kes gaduh di penjara Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyiasat dengan terperinci kejadian pergaduhan banduan di Penjara Sungai Buloh Khamis lepas, kata Pesuruhjayanya Datuk N. Siva Subramaniam.

Beliau berkata siasatan itu termasuk berhubung dakwaan kesemua banduan yang yang terbabit dalam pergaduhan itu adalah tahanan yang belum dituduh dan masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Keluarga banduan telah membuat aduan kepada Suhakam petang Khamis lepas mengenai insiden itu, katanya.

Setakat ini, Suhakam telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang dipasang di tempat kejadian, katanya kepada pemberita selepas melawat banduan yang terlibat dalam pergaduhan itu di Penjara Sungai Buloh di sini semalam.

Pergaduhan yang dipercayai berpunca akibat perebutan siaran televisyen di penjara itu menyebabkan empat orang banduan mengalami kecederaan serius, sementara yang lain mengalami cedera ringan.

Pergaduhan itu turut menyebabkan seorang Inspektor Penjara yang bertugas, Awang Sharin cedera di tangan ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Kejadian itu dikatakan bermula apabila seorang banduan diserang oleh lima banduan, dan kemudiannya disertai 18 banduan lain. Siva berkata: "Empat daripada banduan itu dipercayai cedera di kepala akibat dipukul dengan cota oleh pegawai penjara yang bertugas pada masa kejadian.

"Namun dalam undangundang, pegawai penjara dibolehkan menggunakan cota bagi melindungi diri jika keadaan terancam atau apabila keadaan memerlukan mereka untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata banduan terbabit telah dirawat oleh doktor penjara sejurus selepas kejadian tetapi telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dua hari kemudian atas desakan keluarga mereka. BERNAMA

Artikel Lain