suria

PPP: Surat tunjuk sebab hanya dikeluarkan selepas ROS dapat penjelasan penuh

PUTRAJAYA: Pendaftar Pertubuhan (ROs) hanya akan mengeluarkan surat tunjuk sebab mengapa Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak boleh dibubarkan selepas mendapatkan penjelasan penuh daripada semua pihak yang terlibat dalam konflik dalaman parti itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain penjelasan daripada Presiden PPP Datuk M. Kayveas dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah, ROS juga perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak ketiga seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Majlis Peguam berhubung beberapa tuduhan terhadap parti itu.

"(Bila siasatan ROS dapat diselesaikan) banyak bergantung kepada pihak-pihak berkenaan...ROS masih menunggu penjelasan daripada kedua-dua pihak (Kayveas dan Murugiah).

"Jika (ROS) tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan pendaftar berpendapat beliau tidak dapat membuat keputusan (sama ada membubarkan parti itu), dengan itu surat tunjuk sebab akan dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada ROS di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya Jelaing Mersat, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mahmood Adam dan Ketua Pengarah ROS Datuk Md Alias Kalil.

Hishammuddin berkata siasatan tersebut memerlukan masa memandangkan ROS juga perlu melakukan pemantauan, penguatkuasaan dan memberikan khidmat nasihat kepada pertubuhan lain yang berdaftar di bawahnya.

Mengikut statistik sehingga 30 April lalu, terdapat 114,069 pertubuhan berdaftar dan 44,777 daripadanya merupakan pertubuhan induk manakala baki 69,292 lagi merupakan pertubuhan cawangan, jadi adalah tidak adil untuk hanya menumpukan perhatian kepada PPP, katanya.

Hishammuddin juga berkata tiada sebab bagi mana-mana pihak mempertikaikan apa yang diputuskan ROS, termasuk keputusan yang mengikitiraf Kayveas sebagai presiden PPP sehingga siasatan berakhir.

"Biarlah mereka (ROS) jalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin, dan kalau (ada) yang tak puas hati dengan keputusan ROS nanti, ada saluran-saluran untuk mereka membuat rayuan," katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata Akta Pertubuhan 1966 juga akan disemak semula bagi membolehkan ROS memainkan peranan yang lebih efektif selaras dengan perubahan dan keperluan semasa.

"Saya fikir seluruh akta itu perlu dikaji semula kerana sesetengah peruntukan yang melibatkan persatuan dan agenda tertentu kini di bawah bidang kuasa kementerian lain seperti Persatuan Belia kini di bawah Kementerian Belia dan Sukan manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Kementerian Pelajaran".

Selain itu ROS juga perlu mengambil pendekatan yang proaktif yang mungkin memerlukan peruntukan dalam akta itu dipinda, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain