suria

Tertuduh peluk gambar Ashaari, kata saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tertuduh pertama kes bunuh sepasang suami isteri pada hari raya Aidilfitri tahun lepas sedang memeluk gambar bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhamad, ketika tangkapan dibuat di sebuah rumah di Pandan Indah.

Pegawai Penyiasat ASP Sydney Clyde Jeremiah berkata bahawa ketika itu Muhammad Ilyas Abdul Razak, 23, sedang tidur di atas sofa di ruang tamu sambil memeluk gambar pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu.

"Saya terpaksa mengejutkan tertuduh dan ketika ditahan dia tidak menunjukkan sebarang tindakan melawan dan dilihat berada dalam keadaan lesu dan keletihan," katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Muhammad Ilyas dan adiknya, Muhammad Fauzi Abdul Razak, 21, serta sepupunya mereka, Muhammad Nizam Mohd Ibrahim, 19, yang didakwa bersama-sama membunuh bapa Muhammad Nizam, Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan isteri Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga di sini pada antara 12 tengah hari dan 8 malam, 1 Oktober 2008.

Jeremiah, yang merupakan saksi ketujuh, berkata bahawa sebelum menemui Muhammad Ilyas, dia telah berjumpa dengan Muhamad Fauzi, di hadapan pintu masuk rumah itu dan tertuduh kedua itu juga kelihatan dalam kepenatan.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, saksi itu berkata bahawa di rumah itu, beliau turut menemui beberapa helai baju, tuala dan kain pelikat dalam satu baldi.

Ketika pakaian itu dikemukakan di mahkamah hari ini sebagai barang bukti, sehelai kemeja-T dilihat mempunyai kesan darah.

Terdahulu Jeremiah memberitahu mahkamah bahawa di tempat kejadian beliau telah menemubual seorang budak lelaki berumur 10 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

"Saya telah bertanya tentang apa yang berlaku di unit (rumah) itu dan kedua-dua saksi menafikan tentang apa yang berlaku. Kedua-dua asyik menangis, jadi saya tidak tanya lagi. Remaja lelaki itu turut mengalami kecederaan," katanya.

Perbicaraan yang masuk hari kedua hari ini didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah dan disambung esok. BERNAMA

Artikel Lain