suria

Amah tak tahan didera lari dari rumah majikan

KUALA LUMPUR: Akibat tidak tahan didera sejak tiga tahun lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia melarikan diri dari rumah majikannya di Lanai Kiara Kondominium, Mount Kiara, malam kelmarin. Duta Besar Indonesia Tan Sri Da'i Bactiar berkata mangsa yang dikenali sebagai Siti Hajar, 33, yang berasal dari Jawa Barat, melarikan diri dari rumah majikannya kira-kira tengah malam kelmarin dan kemudian bertindak mendapatkan perlindungan dari Kedutaan Indonesia di sini.

"Siti Hajar keluar (dari rumah) tanpa disedari majikannya. Dia kemudiannya datang ke sini dengan pertolongan seorang pemandu teksi bagi mendapatkan perlindungan.

"Nasibnya baik kerana pemandu teksi itu hendak menolong malah Siti Hajar turut diberikan wang sebanyak RM10 oleh pemandu berkenaan," katanya kepada pemberita di pejabat kedutaan itu di Jalan Tun Razak.

Beliau berkata Siti Hajar mula bekerja di rumah majikannya, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak, sejak 2 Julai 2006.

"Sejak bulan pertama Siti Hajar bekerja dia langsung tidak diberikan gaji dan kini jumlah itu sudah menjangkau RM17,000," katanya.

Da'i Bactiar berkata apa yang lebih memilukan mangsa bukan hanya dipukul tetapi juga hanya diberi makan nasi kosong dan berlaukkan daging babi.

"Siti Hajar dipukul dengan objek keras dan dia juga diberi makan nasi tanpa lauk, kadang-kadang majikan juga memberi dia makan nasi berlaukkan daging babi," tambahnya.

Ketika ditanya pemberita apakah kesalahan Siti Hajar sehingga dia diperlakukan sedemikian, Da'i Bactiar berkata alasan majikan adalah kerana mangsa tidak dapat melakukan tugas dengan sempurna.

"Walaupun dia tidak cekap dalam pekerjaannya, majikan tidak boleh menghukum dia kerana itu telah melanggar undang-undang.

"Kalau tidak berpuas hati dengan cara kerja, hantar balik pembantu berkenaan kepada ejen dan bukan bertindak seperti ini," kata Da'i Bactiar.

Beliau juga berkata pihak kedutaan telah memanggil majikan berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan wanita itu.

"Pukul 11 pagi tadi (semalam) kita telah memanggil (majikan) ke sini dan dia juga telah mengaku mendera Siti Hajar.

"Susulan daripada itu pihak kedutaan juga telah membuat laporan polis berhubung kes ini dan Siti Hajar telah ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Seorang pegawai dari Kedutaan telah membuat laporan polis pada pukul 12 tengah hari di Balai Polis Jalan Travers dan majikan itu telah ditahan kira-kira pukul 7 petang.

"Kita akan minta tempoh reman di mahkamah esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain