17 mayat nahas pesawat Air France sudah ditemui - Semasa | mStar

17 mayat nahas pesawat Air France sudah ditemui

RECIFE (Brazil): 17 mayat kini sudah ditemui dari bangkai pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik hampir seminggu lalu, setakat semalam.

Pegawai tentera melaporkan, daripada jumlah tersebut, 15 mayat ditemui 1,150 kilometer (600 batu) dari pantai timur laut, semalam.

Mayat-mayat tersebut dikesan terapung bersama tempat duduk dan serpihan kapal terbang itu.

Jurucakap tentera Brazil, Lt Kol Henry Munhoz berkata, pihak penyelamat turut menemui berpuluh-puluh serpihan komponen pesawat jenis Airbus A330 sebelum ia dikumpulkan.

Penemuan terbaru itu adalah susulan penemuan dua mayat lelaki Sabtu lalu oleh pasukan tentera laut Brazil di lokasi 1,150 kilometer dari Recife.

Pesawat Air France 447 itu terhempas pada 1 Jun lalu dengan 228 penumpang. Ia berlepas dari Rio de Janeiro ke Paris sehari sebelum kemalangan tersebut. AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel