suria

4M strategi baru Wanita Umno di Manek Urai

KUALA KRAI: Pergerakan Wanita Umno akan menggunakan pendekatan strategi 4M bagi pilihan raya kecil negeri Manik Urai bulan depan bagi memantapkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim berkata pendekatan strategi itu ialah mengesan pengundi, memahami pengundi, mendekati pengundi dan menawan pengundi.

"Strategi baru ini adalah untuk penambahbaikan tugas sedia ada dan memantapkan lagi jentera untuk berhadapan dengan pilihan raya kecil yang dijangka menyaksikan persaingan sengit ini dan diharap, semua dapat berganding bahu menjayakannya di bawah satu nama iaitu Barisan Nasional (BN).

"Selain itu apa yang perlu diingat, tidak timbul soal nama siapa yang naik sama ada Wanita, Puteri atau Pemuda, semuanya di bawah BN yang dinaungi Perdana Menteri kita," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jentera Pilihan Raya Manek Urai, dekat sini.

Beliau berkata, strategi terbaru Wanita Umno itu akan dilaksanakan dan di bawah tanggungjawab Ketua 10 yang akan dikenali sebagai Jalinan Rakyat (JR) untuk pilihan raya kecil berkenaan.

Kamilia berkata jentera perlu sentiasa nekad dan kesepakatan perlu diutamakan dalam melaksanakan tugasan yang diberikan untuk menawan pengundi agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai kembali kepada BN. Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman berkata, sikap utama yang paling penting perlu dipertahankan dalam Umno ialah semangat kesetiaan tidak kira siapa sahaja yang bakal dicalonkan pada pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata, rakyat di kawasan ini tidak boleh melepaskan peluang untuk menikmati ganjaran yang sama diperoleh penduduk di negeri lain kerana bukan semua negeri kaya seperti Selangor dan semua negeri memerlukan bantuan daripada kerajaan pusat.

"Jika kita menang di sini benar kita bukan kuasa majoriti dalam sidang DUN, tetapi anda semua di sini akan mendapat kelebihan berbanding kawasan lain kerana kawasan di bawah naungan BN akan mendapat perhatian dan imbuhan yang lebih," katanya.

Bantuan, kesetiaan dan kepercayaan jentera haruslah ditumpukan kepada penduduk untuk memastikan mereka akan keluar mengundi untuk memilih yang terbaik bagi masa depan mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya daripada PAS Ismail Yaakob meninggal dunia akibat sakit jantung pada 22 Mei lepas. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 6 Julai ialah hari penamaan calon dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 14 Julai. BERNAMA

Artikel Lain