suria

Wanita ada peluang sandang jawatan Hakim Syarie

MIRI: Peluang wanita Islam untuk menjadi hakim di Mahkamah Syariah di Sarawak sentiasa terbuka jika mereka mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk memegang jawatan itu, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman di sini, hari ini.

Katanya walaupun jawatan hakim di mahkamah syarie kini kesemuanya disandang oleh lelaki, keadaan ini tidak bermakna golongan wanita Islam dipinggirkan di Sarawak.

Berucap mewakili Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Perhimpunan Wanita Bestari di sini, Daud berkata keadaan ini juga mungkin telah menyebabkan ada di kalangan golongan wanita beranggapan keputusan mahkamah syariah seringkali memihak kepada pihak lelaki.

Bagaimanapun, beliau berkata kini ramai wanita di Sarawak berjaya menyandang jawatan penting di negeri ini termasuk menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Katanya kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambahkan lagi jumlah wanita untuk memikul tanggungjawab yang bersesuaian dengan keupayaan dan kelayakan mereka di negeri ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain