Warga Iran dibelasah ketika sarapan di restoran

KUALA LUMPUR: Akibat salah faham, seorang lelaki warga Iran berumur lewat 40an nyaris dibelasah oleh sekumpulan pemandu teksi di sebuah restoran di Jalan Ampang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang bersarapan bersama isterinya, seorang warga tempatan berhampiran meja yang diduduki empat pemandu teksi.

Berang akibat ditegur supaya tidak membuat bising oleh lelaki Iran itu, salah seorang pemandu teksi itu cuba menyerang lelaki Iran tersebut dengan dibantu 20 pemandu teksi lain.

Terkejut dengan tindakan itu, lelaki Iran berkenaan mencapai sebilah parang dalam restoran itu untuk mempertahankan diri.

Kejadian itu menimbulkan suasana kecoh dalam restoran yang ketika itu terdapat lebih 30 pelanggan.

Seorang pengawal keselamatan, Nordin Ab Razak yang melihat kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan dan meminta pertolongan rakannya untuk menghubungi polis.

Polis yang tiba kirakira 10 minit kemudian membawa mangsa dan beberapa pemandu teksi ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata tiada laporan polis dibuat kerana ia hanya membabitkan perselisihan faham dan polis menganggap kes itu selesai apabila kedua-dua pihak yang berselisih itu bermaaf-maafan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain