SHAH ALAM: Polis menahan 18 anggota kumpulan kongsi gelap "Geng 08" dan "Geng 21" termasuk seorang daripada ketuanya yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak hampir 10 tahun lepas.
Kedua-dua kumpulan itu disyaki terlibat dengan pembunuhan, pergaduhan dan pemerasan ugut selain mengutip wang perlindungan dan melakukan pengkhianatan seperti membakar rumah dan kereta orang, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata kesemua anggota dan ketua kumpulan itu yang berumur antara 18 dan 40 tahun ditahan di beberapa kawasan khususnya di Ladang Tennamaram dalam satu operasi semalam dan hari ini.
"Kesemua tangkapan yang kita buat ini ada kaitan dengan 20 kertas siasatan yang kita buka berhubung aktiviti gangsterisme di kawasan Kuala Selangor dan polis akan menentukan geng mana yang mereka mewakili," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Khalid berkata pasukan polis masih berada di Ladang Tennamaram untuk mengesan saki baki ahli keduadua kumpulan itu yang dipercayai ada hubungan antara satu sama lain.
Beliau juga berkata polis menangkap dua lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam beberapa kejadian mencuri komputer riba yang diletakkan dalam kereta di sekitar Lembah Klang dalam satu serbuan di Kampung Changkat, Batu 6, Gombak, Selasa lepas.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang berumur antara 20 hingga 39 tahun itu didapati menggunakan satu alat mesin pengesan elektronik.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 36 utas jam tangan, komputer riba dan beberapa barangan elektronik, katanya. BERNAMA


