suria

Keadaan tidak selamat bumbung stadium dikesan tahun lepas

KUALA TERENGGANU: Keadaan tidak selamat pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat sini, yang runtuh semalam telah dikesan sejak tahun lepas semasa pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) ke-12.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata ketika itu, pasukan komando hendak memasang tali untuk acara pembukaan stadium tersebut, namum membatalkannya kerana bumbung itu bergoyang.

"Saya dimaklumkan, komando tidak berani turun kerana bumbung bergoyang semasa mereka membuat latihan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan keadaan itu, helikopter telah digunakan bagi menurunkan anggota-anggota komando itu pada malam pembukaan stadium berkenaan 10 Mei tahun lepas.

Katanya bumbung stadium yang runtuh itu panjang serta lebar dan struktur sokongannya tidak dapat menampung berat bumbung tersebut kerana saiznya yang lebih kecil.

Beliau berkata sebelum acara pembukaan Sukma, beliau melihat bumbung stadium itu tidak sama rata seolah-olah ada yang tidak betul.

"Saya tanya kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kenapa perkara ini berlaku dan mereka berjanji untuk memperbaikinya selepas Sukma. Itulah perakuan yang diberikan kepada saya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata tiga minggu lepas, beliau telah memanggil Timbalan Pengarah Kerja Raya negeri Ghazali Hashim dan melahirkan rasa bimbang terhadap struktur bumbung stadium itu.

"Dua minggu lepas, dia telah menulis surat kepada pihak kontraktor supaya menyemak semula perkara ini. Maka, JKR sebenarnya telah mengambil tindakan terhadap perkara ini (sebelum ia runtuh semalam)," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain