suria

Mansor menang, PKR kekalkan Penanti

BUKIT MERTAJAM: Sebagaimana telah dijangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam saingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman menang dengan majoriti 5,558 undi.

Walaupun majoriti PKR kali ini meningkat dua kali ganda, tetapi jumlah undi yang diperoleh calon parti itu menurun berbanding pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Mansor yang memperoleh 6,052 undi manakala tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah memperoleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56).

Sebelum ini Mansor disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil hari ini.

Dalam reaksinya, Mansor mengucapkan terima kasih kepada para pengundi, pemimpin PKR, penyokong dan pekerja pilihan raya yang telah berusaha kerja membawa kemenangan kepada beliau.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada pimpinan parti dan rakanrakan dari DAP dan PAS serta kepada pengundi Penanti," katanya.

Sehubungan itu tambah Mansor, beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang apabila memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang mulai minggu depan.

Keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 8.24 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara di Jalan Berapit di sini.

Ketika pilihan raya umum 2008, seramai 12,667 daripada 15,421 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Calon PKR ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin menerima 7,346 undi manakala calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid memperoleh 5,127 undi.

Majoriti diperoleh Fairus ialah 2,219 undi.

KEPUTUSAN PENANTI: SEPINTAS

- Mansor Othman (PKR) 6,052 undi

- Aminah Abdullah (Bebas) 392 undi

- Nai Khan Ari (Bebas) 494 undi

- Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 56 undi

Jumlah mengundi: 7,100

Peratus: 46.15

Undi rosak: 106 undi

Majoriti: 5,558 undi

Dalam pada itu, semua sembilan pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti ditutup pada 5 petang tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata, sepanjang tempoh mengundi dari 8 pagi hingga 5 petang ini, sebanyak 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata sebaik pusat pengundian ditutup, proses mengira undi di 32 saluran yang ada di sembilan pusat mengundi itu dijalankan sebelum semua kertas undi dibawa ke pusat penjumlahan. Peti undi pertama tiba di IKBN pukul 5.45 petang.

Ngah juga berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang lancar dan tenang.

Pilihan raya umum Mac lepas mencacatkan peratusan keluar mengundi yang jauh lebih tinggi iaitu 82.08 peratus atau 12,657 orang daripada 15,421 pengundi.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob menyifatkan perjalanan pilihan raya itu paling aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Keadaan tenang dan aman dan saya berharap jika ada lagi pilihan raya pada masa akan datang, biarlah keadaannya sama seperti ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau melarang pihak yang menang pilihan raya kecil ini daripada meraikan kemenangan dengan cara yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan lalu lintas.

Kerusi DUN Penanti kosong apabila penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran.

Artikel Lain