suria

Raymond Tan bakal dilantik Naib Presiden Gerakan

KOTA KINABALU: Nama Datuk Raymond Tan Shu Kiah akan dicadang bagi jawatan Naib Presiden parti Gerakan pada mesyuarat jawatankuasa pusat akan datang, kata Pengerusi parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, pelantikan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu menganggotai badan kepimpinan peringkat pusat parti akan dibuat secara rasmi pada mesyuarat jawatankuasa pusat berikutnya nanti.

"Mengikut perlembagaan parti, pelantikan itu dibuat jawatankuasa pusat berdasarkan kepada cadangan Presiden. Jadi saya sendiri akan mencadangkan pelantikan Tan ke jawatan Naib Presiden Gerakan, dan Au Kam Wah sebagai anggota jawatankuasa pusat Gerakan," katanya kepada pemberita pada satu persidangan media di pejabat Gerakan Negeri di sini hari ini.

Ditanya bila mesyuarat itu akan diadakan, beliau sekadar berkata: "Tidak lama lagi".

Gerakan ketika ini mempunyai tiga Naib Presiden yang dipilih dan tiga lagi Naib Presiden yang dilantik.

Selasa lepas Koh mengumumkan kemasukan bekas Timbalan Presiden SAPP yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat itu bersama Au, bekas Ketua Pemuda SAPP ke dalam parti Gerakan, dan hari ini menyaksikan dua lagi bekas naib presiden SAPP, Norbert Chin dan Jimmy Wong (setiausaha politik kepada Ketua Menteri), turut menyertai Gerakan.

"Majlis penyerahan borang permohonan keaggotaan kepada pengerusi Gerakan Sabah Gordon Leong, yang disaksikan oleh penasihat Gerakan Negeri Robin Loh dan juga anggota jawatankuasa badan perhubungan Gerakan negeri hari ini, menandakan bermulanya satu era baru bagi Gerakan di Sabah, khusus buat penduduk Sabah," kata Koh.

Ditanya mengenai cawangan yang akan disertai mereka Koh berkata: "Mereka dari kawasan Sandakan, jadi mereka akan mewujudkan cawandan baru di kawasan Sandakan memandangkan kami tidak punyai banyak cawangan di kawasan ini, jadi kami bebas membentuk cawangan baru.

Sementara itu Koh berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berhubung keputusan mengenai kedudukan Tan sebagai timbalan ketua menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

"Kami sudah jelaskan pendirian kami kepada Najib dan Musa, bahawa ia adalah hak prerogatif Ketua Menteri. Mereka juga memiliki hak prerogatif untuk berunding dengan kami sebagai anggota parti komponen, dan juga parti-parti komponen yang lain, dan kami menghormati hak prerogatif itu," katanya semasa merujuk kepada kedudukan Raymond Tan dalam pentadbiran negeri.

Sementara itu Gordon Leong berkata, Gerakan Sabah menyambut baik keputusan jawatankuasa kerja pusat kebangsaan dan juga Koh sebagai Presiden untuk menerima kemasukan anggota-anggota baru itu ke dalam parti.

Menurutnya, Tan and Au akan membawa bersama pengalaman dan kearifan bertahun-tahun lamanya yang dimiliki mereka dalam dunia politik, untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada Gerakan, tapi juga Barisan Nasional.

Gerakan Sabah ketika ini mempunyai kira-kira 14,000 anggota. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain