JOHOR BAHARU: Polis mengesahkan mereka telah menangkap seorang lelaki semalam berhubung kejadian kes ragut di Air Hitam dua hari lepas yang menyebabkan kematian seorang ibu yang mengandung dua bulan.
Menurut satu kenyataan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Johor hari ini, penangkapan pemuda di dalam lingkungan umur 26 tahun itu diharap dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes ragut ke atas mangsa Jamilah Selamat, 31.
"Suspek telah diluluskan mahkamah untuk ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 Mei bagi tujuan siasatan lanjut," kata jabatan tersebut.
Menurut kenyataan itu, lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu telah ditangkap oleh Polis Air Hitam kirakira 10.30 malam di sebuah taman perumahan di Batu Pahat.
Penganggur tersebut merupakan bekas banduan kerana terlibat di dalam lima kes curi dan ragut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2003 dan Seksyen 447 kanun yang sama kerana melakukan pencerobohan jenayah pada 2006.
Di dalam kejadian ragut berkenaan, Jamilah maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan apabila beg tangannya yang berada di dalam raga motosikalnya diragut oleh penjenayah terbabit, mengakibatkan dia terjatuh dan kepalanya terhentak ke atas jalan raya. BERNAMA


