suria

Keputusan kes rasuah Abdul Kudus 30 Jun

Bekas Ketua Penguatkuasa Majlis Pembandaran Ampang Jaya, Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad (kanan) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah.
Bekas Ketua Penguatkuasa Majlis Pembandaran Ampang Jaya, Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad (kanan) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah.
Bekas Ketua Penguatkuasa Majlis Pembandaran Ampang Jaya, Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad (kanan) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang hari ini menetapkan 30 Jun untuk keputusan kes rasuah bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad.

Hakim Nor Adidah Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan di akhir kes pembelaan kedua-dua pihak.

Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun, bermula 9 Ogos 2003 ini melibatkan 11 orang saksi di pihak pendakwaan dan 12 orang saksi di peringkat pembelaan yang antaranya turut memanggil bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas.

Abdul Kudus, 46, didakwa terhadap 24 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda maksimum lima kali ganda daripada nilai suapan.

Pada awalnya, kes ini didengar di hadapan Hakim Nor Afizah Hanum Mokhtar sebelum dipindahkan untuk dibicarakan (ketika itu di peringkat pembelaan) di hadapan Nor Adidah berikutan Nor Afizah menyambung pelajarannya.

Prosiding di peringkat pembelaan juga kerap ditangguhkan berikutan peguam M. Manoharan yang mewakili Abdul Kudus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember 2007.

Sementara itu ketika berhujah peguam A. Srimurugan yang mewakili Abdul Kudus memberitahu bahawa anak guamnya tidak bersalah dan tiada sebarang keterangan sokongan yang boleh mengaitkan Abdul Kudus dengan pertuduhan rasuah itu

Katanya pihak pendakwaan hanya mengemukakan dua buah buku akaun yang ditulis sendiri oleh dua pekerja, yang juga anak pemilik restoran Sri Steven's Corner dan ia tidak boleh diterima pakai kerana ia sekadar catatan sahaja.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan menegaskan bukti yang ada telah mencukupi untuk membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah dan Abdul Kudus melakukan kesalahan itu. BERNAMA

Artikel Lain