suria

Empat lelaki menyamar polis, larikan wanita diburu

KUALA LUMPUR: Polis memburu empat lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis sebelum melarikan sebuah kereta bersama seorang wanita warga Thai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel, Cheras di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Hashim berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, wanita berkenaan bersama rakan lelakinya tiba di kawasan perumahan itu sebelum dihampiri empat lelaki.

Empat suspek itu kemudian mendakwa kepada pasangan itu bahawa mereka adalah anggota polis dan mahu melakukan pemeriksaan sebelum bertindak menggari rakan lelaki wanita Thai itu.

Suspek kemudian melarikan kereta Proton Satria Neo milik rakan lelaki wanita Thai itu sebelum meninggalkan wanita berusia 27 tahun itu di Taman Len Seng semalam.

Kereta yang dilarikan suspek masih belum ditemui, kata Ahmad Amir.

"Wanita itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak tahumenahu mengapa dia dilarikan malahan mangsa sendiri tidak mengenali suspek berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Amir berkata polis sedang menjalankan operasi menjejak kesemua suspek dan maklumat lengkap mengenai kejadian sedang dalam siasatan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, Seksyen 363 (penculikan) dan Seksyen 397 (rompak) menurut kanun yang sama.

Sementara itu, polis akan mengetatkan pengawasan berdekatan pangsapuri Seri Kota, Bandar Tun Razak termasuk mengadakan rondaan dan meletakkan anggota polis sepanjang masa di kawasan itu berikutan insiden kebakaran yang melibatkan lima buah motosikal dua hari lepas.

Dalam kejadian kirakira 4 pagi itu, lima motosikal milik penghuni di Blok 94 pangsapuri tersebut yang diletakkan di kawasan meletak motosikal terbakar dipercayai akibat khianat.

"Segalanya termasuk punca dan motif kejadian kebakaran itu masih dalam siasatan," katanya.

Mengenai ketiadaan anggota polis yang bertugas di pondok bit polis berhampiran ketika kejadian, Ahmad Amir berkata kesemua anggota polis yang terlibat ditugaskan di Bukit Jalil untuk kawalan keselamatan sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Selangor dan Kelantan. BERNAMA

Artikel Lain