suria

Prosiding ditangguh kira-kira sejam kerana Tian Chua tidak muncul

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes ketua penerangan PKR Chua Tian Chang yang dituduh mencederakan anggota polis di Mahkamah Majistret di sini, tertangguh kira-kira sejam ekoran ketiadaannya di kandang tertuduh petang tadi.

Ketiadaan Anggota Parlimen Batu itu hanya disedari oleh Majistret Faizi Che Abu yang mendengar kes tersebut kirakira 10 minit selepas perbicaraan bermula, pada pukul 2.15 petang.

Teguran majistret itu menyebabkan peguambela Razlan Hadri yang mewakili Tian Chua turut terperanjat dengan ketiadaan anak guamnya sehingga menyebabkan semua yang berada di mahkamah itu tertanyatanya dan tergelak.

"Eh mana dia?, saya ingat dia ada tadi," kata Razlan.

Faizi kemudian menangguhkan prosiding, dan tidak lama kemudian Tian Chua muncul di mahkamah dan meminta maaf kepada majistret kerana terlambat sampai atas alasan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, sebelum perbicaraan disambung pada pukul 3 petang.

Dalam perbicaraan hari ini, saksi ketujuh pendakwaan, ASP Che Aziz Md Isa memberitahu mahkamah beliau tidak membuat sebarang siasatan mengenai ujian air liur dari gigitan yang terdapat pada baju Konstable Rosyaidi Anuar.

Che Aziz, 48, yang bertugas sebagai Penolong Siasatan Jenayah IPD Sentul, turut mengakui bahawa tiada apaapa ujian yang dilakukan terhadap Rosyaidi termasuk ujian air liur itu.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, saksi itu menjelaskan ujian itu tidak dilakukan kerana beliau berpendapat keterangan sedia ada adalah mencukupi untuk mendakwa tertuduh.

Tian Chua, 46, didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Rosyaidi pada kirakira pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007 ketika Rosyaidi menjalankan tugas di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini.

Tian Chua didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau keduaduanya jika sabit kesalahan. Perbicaraan bersambung esok. BERNAMA

Artikel Lain