suria

Majlis Peguam tidak terlepas tindakan undang-undang - Nazri

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam tidak terlepas dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peraturan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi memperketatkan dan mengehadkan bidang kuasa Majlis Peguam, berikutan tindakan berkenaan dilihat tidak perlu.

"Majlis Peguam adalah entiti seperti individu, yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya badan itu melanggar peraturan atau undang-undang negara," katanya menjawab soalan Datuk Mukhriz Tun Mahathir (BN-Jerlun) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

Mukhriz ingin tahu sama ada kerajaan akan mengehadkan bidang kuasa Majlis Peguam dengan meminda Akta Profesion Undang-undang 1976 bagi membendung campur tangan badan itu dalam urusan kerajaan.

Mohamed Nazri berkata mengikut Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976, kuasa Majlis Peguam antara lain adalah untuk memberikan pandangannya mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan perundangan serta pentadbiran dan pengamalan undang-undang negara.

"Majlis Peguam juga berperanan untuk melindungi dan membantu orang awam dalam semua perkara membabitkan undang-undang di samping sesetengah perkara politik, tanpa perlu membabitkan diri secara terus dalam proses politik negara," katanya.

Menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mendapatkan pandangan Majlis Peguam sebelum membentangkan sebarang akta, Mohamed Nazri berkata hanya Parlimen diberikan hak eksklusif untuk melihat 'first side' mana-mana rang undang-undang sebelum ia dibentangkan.

"Oleh itu kerajaan tidak boleh memberi rang undang-undang itu kepada mana-mana pihak termasuk Majlis Peguam sebelum bacaan pertama dibuat. Itu melanggari peraturan dan menunjukkan rasa kurang hormat pada Parlimen.

"Kalau ada perkara yang ingin dibangkitkan Majlis Peguam, badan itu boleh menggunakan anggota Parlimen bagi membangkitkan sebarang isu. Jika kerajaan berpendapat pindaan perlu dibuat, kita akan buat di peringkat jawatankuasa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain