suria

Calon BN, DUN Batang Ai diketahui Sabtu ini

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai akan diketahui Sabtu ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata nama calon berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat parti-parti komponen BN pada hari itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Pakar Kuching (KSH) di sini hari ini.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari akibat serangan angin ahmar dan koma selama sembilan bulan.

Unting merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan wakil rakyat Batang Ai sejak 1991.

Beliau merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Minggu lepas, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing berkata parti itu hanya menyerahkan satu nama sebagai calon kepada pucuk kepimpinan BN.

Taib, ketika ditanya mengenai pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam, berkata kesan pakej rangsangan itu dirasai pada awal tahun depan.

"Jangan terlalu mengharap pada tahun ini," kata beliau, sambil menambah kata bahawa Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Najib mengumumkan sejumlah RM230 juta diperuntukan bagi menambah baik infrastruktur luar bandar di Sarawak dan Sabah, terutamanya bagi meningkatkan bekalan elektrik dan air.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.95 bilion bagi membina dan meningkatkan kemudahan 752 sekolah luar bandar di Sarawak dan Sabah, dengan RM300 juta diperuntukan bagi meningkatkan kemudahan sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain