SANDAKAN: Polis Marin merampas kira-kira 3,000 tan pasir yang disyaki diambil secara haram dari sungai di Batu Sapi di sini semalam.Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Marin Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata rampasan dilakukan di perairan berhampiran Pelabuhan Sandakan pada 12.30 tengah malam dan dua bot tunda serta dua tongkang yang digunakan untuk mengangkut pasir itu turut dirampas. "Ketika diperiksa, juragan bot tunda berkenaan gagal menunjukkan surat kuasa serta permit pengorekan pasir daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.Beliau berkata dua juragan rakyat tempatan bot tunda tersebut yang masing-masing berusia 56 dan 58 tahun ditahan lanjut bagi membantu siasatan.Katanya siasatan awal mendapati pasir berkenaan diambil untuk dibekalkan kepada sebuah projek perumahan di sini.Muhammad Sallam berkata aktiviti pengambilan pasir di sungai tanpa kelulusan bertulis daripada Pengarah Tanah dan Ukur Sabah merupakan kesalahan mengikut Ordinan Tanah Negeri Sabah.Sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.Beliau berkata kes itu diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. BERNAMA