suria

Juruterbang selamat dibawa keluar dari tempat nahas

JOHOR BAHARU: Juruterbang pesawat Cessna 152 yang terbabit dalam nahas di lereng Gunung Pulai semalam, Sanjay Purusottam dibawa keluar dari tempat kejadian pada 7 pagi hari ini.

Beliau dibawa keluar dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

"Mangsa hanya mengalami bengkak pada mata kanan dan patah paha kanannya," kata Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supt Zulkepfly Yahya ketika ditemui pemberita di HSA.

Sanjay, 40, seorang warga India berstatus penduduk tetap Singapura diperiksa oleh pegawai perubatan di wad Kecemasan dan Trauma HSA sebelum dipindahkan ke Hospital Mount Elizabeth di negara jiran itu pada kira-kira 11.50 pagi dengan menaiki ambulans HSA, katanya.

Turut berada di hospital ialah isteri Sanjay, Shubdha Bhave,35, dan rakan sekerjanya Ravi Abusaria, 35.

Shudha enggan memberi kenyataan ketika ditemui wakil media.

Menurut Ravi, rakannya itu seorang pegawai bank di Singapura dan mempunyai hobi dalam penerbangan pesawat ringan sejak lima tahun lalu.

"Kami diberitahu mengenai kejadian itu pada kira-kira 4.30 petang dan tiba di kelab itu pada kira-kira 6.30 petang," katanya yang sedih dengan kejadian yang menimpa rakannya itu.

Pesawat yang dipandu berseorangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Senai pada 9.40 pagi dan sepatutnya sampai di Lapangan Terbang Batu Berendam di Melaka pada 10.50 pagi.

Sanjay memohon kebenaran daripada menara kawalan trafik udara Senai untuk berpatah balik berikutan angin kencang namun setelah dibenarkan berpatah balik, menara kawalan terputus hubungan dengannya pada 10.15 pagi.

Pesawat tersebut dikesan pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan menjunam dan tersangkut di atas dahan pokok di lereng bukit curam setinggi 500 meter di Hutan Simpan Gunung Pulai pada 5 petang dengan Sanjay ditemui dalam keadaan selamat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain