suria

Malaysia cadang langkah mengenai Palestin di mesyuarat OIC

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk mengemukakan cadangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan datang, yang bertujuan menghentikan pembunuhan dan penyiksaan terhadap penduduk Palestin ekoran pencerobohan Israel di Gaza.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan persetujuan kesemua negara anggota OIC bahawa apa yang berlaku di Palestin tidak kurang daripada "pembersihan etnik" atau penghapusan bangsa.

"Apa yang telah kita saksikan sejak dua minggu lepas adalah semata-mata satu penyembelihan. Tidak banyak negara di dunia yang dapat berdepan dengan kekuatan dan kekuasaan bala tentera Israel. "Apakah yang dapat dilakukan oleh penduduk Palestin apabila mereka dikepung dan dinafikan keperluan asas selama ini?" katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad Shabery, yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan OIC kali ke-8 di Rabat, Maghribi, dari 25 hingga 28 Jan, berkata beliau akan turut berusaha mendapatkan persetujuan anggota OIC untuk menganggap Gaza dan Tebing Barat sebagai kem pengasingan besar yang diwujudkan oleh rejim Tel Aviv untuk penduduk Palestin yang telah diusir dari kediaman dan tanah air yang mereka warisi sejak turun temurun.

Ahmad Shabery berkata, kedua-dua kem pengasingan besar itu serupa dengan kem terkenal Auschwitz, yang diwujudkan oleh Nazi untuk memenjara dan membunuh Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Sebuah agensi berita asing melaporkan pada Khamis bahawa Vatican menggelarkan Gaza dan Tebing Barat sebagai kem pengasingan yang besar.

Kardinal Renato Martino, presiden Majlis bagi Keadilan dan Keamanan Vatican, dipetik sebagai berkata "penduduk yang tidak berdayalah yang seringkali menanggung akibatnya. Lihatlah keadaan di Gaza.

Semakin lama, ia semakin menyerupai sebuah kem pengasingan yang besar".

Ahmad Shabery berkata, adalah mustahak bagi OIC menerima keduadua hakikat ini memandangkan ia akan menjadi langkah pertama ke arah memulakan usaha lain bagi membawa penjenayah ke Mahkamah Dunia untuk dibicarakan kerana jenayah perang terhadap kemanusiaan.

Turut penting adalah langkah membantu masyarakat Palestin bagi menunjukkan kekejaman dan penderitaan yang mereka alami menerusi Internet agar dunia dalam memahami serta menyaksikan kesengsaraan mereka, katanya.

"Kita boleh membantu melatih dan melengkapkan penduduk Palestin bagi mewujudkan blog sendiri dan mendapatkan imej atau gambar mereka keluar dari Gaza serta Tebing Barat menerusi Internet, SMS dan media baru yang lain agar dunia dapat melihat dan mengetahui tentang penderitaan serta kesengsaraan mereka," kata Ahmad Shabery.

Media antarabangsa, katanya, telah dihalang daripada memasuki Gaza kerana penceroboh tahu gambaran tentang kehancuran dan pembunuhan wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa itu akan menukar pandangan dunia terhadap mereka.

Ahmad Shabery berkata, penduduk Palestin tidak memperoleh keuntungan daripada pendapat umum disebabkan media antarabangsa tidak memaparkan berita mereka sepenuhnya, misalnya kenapa mereka melepaskan peranti buatan sendiri ke arah Israel.

"Mereka dikepung dalam kem pengasingan yang besar dengan berdepan kebuluran dan penyakit. Apa yang anda jangka akan dilakukan oleh orang dalam keadaan begitu?" katanya.

Beliau berkata, amat kena pada masanya mesyuarat OIC diadakan hujung bulan ini memandangkan beliau dapat mengemukakan keputusan persidangan khas Dewan Rakyat mengenai Palestin esok kepada negara anggota perkumpulan berkenaan. Persoalan mengenai Palestin dan Al-Quds (atau Baitulmaqdis) mendahului agenda Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan OIC, yang akan dimulakan dengan mesyuarat pegawai kanan selama dua hari.

Pencerobohan Israel ke atas Gaza, yang dilancarkan pada 27 Dis lepas, sehingga kini mengakibatkan lebih 800 penduduk Palestin terkorban manakala beribu-ribu lagi cedera.

Rejim Zionis juga gagal mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan pada Jumaat yang menggesa ke arah gencatan senjata. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain