suria

Bayaran balik wang tak dituntut dijangka meningkat RM95 juta tahun ini

KUALA LUMPUR: Jumlah bayaran balik wang tak dituntut (WTD) dalam simpanan Pendaftar Wang Tak Dituntut kepada pemilik dijangka meningkat sehingga RM95 juta pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Pada tahun lepas, katanya RM58 juta WTD telah dibayar balik kepada empunya berbanding RM15 juta pada tahun 2002.

"Melalui usaha berterusan yang dilakukan kerajaan, ramai pihak yang menuntut berjaya memperolehi wang mereka kembali," katanya di sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Sehingga Oktober 2008, seramai 51,000 orang telah memperolehi wang tersebut, meningkat daripada 46,000 orang pada tahun 2007 dan 42,000 orang pada 2006.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Yip Kum Fook yang ingin mengetahui jumlah WTD yang terkumpul oleh pendaftar dan apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk mengesan pemilik WTD ini.

Ahmad Husni berkata jumlah WTD yang diterima setiap tahun oleh pendaftar menunjukkan peningkatan yang ketara apabila tempoh WTD selama setahun sebelum sesuatu wang yang tak dituntut perlu diserahkan oleh syarikat atau firma kepada pendaftar dimansuhkan melalui pindaan Akta Wang Tak Dituntut berkuatkuasa 1 Jan, 2003.

Pada tahun 2006 dan 2007, katanya jumlah WTD yang diterima oleh pendaftar terus meningkat dengan kadar yang tinggi apabila banyak sekuriti tak dituntut diserahkan ke dalam Akaun Depositori Pusat Menteri Kewangan telah dijual dan hasil jualan dibayar kepada pendaftar sebagai WTD.

Jumlah WTD dalam simpanan pendaftar sehingga 31 Dis 2007 adalah sebanyak RM2.85 bilion.

Ahmad Husni menjelaskan bahawa pendaftar, selaku pemegang amanah sentiasa berusaha membantu orang awam yang menghadapi masalah dalam semakan WTD di syarikat dan firma berkenaan.

"Orang ramai boleh mengemukakan pertanyaan melalui kaunter pejabat pendaftar atau panggilan telefon atau secara bertulis serta melalui internet," katanya.

Kerajaan pada tahun 2006 telah membangunkan Sistem Kewangan dan Pengurusan Perakaunan Kerajaan di bawah kawalan Jabatan Akauntan Negara untuk menyimpan rekod WTD yang diserahkan oleh syarikat dan firma sejak tahun daftar 2005. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain