suria

Jakim Protes bogel miskin idea tidak waras

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz menyifatkan hasrat Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang mengancam untuk berbogel sebagai tanda protes kepada kerajaan Selangor sebagai "miskin idea dan tidak waras."

Beliau berkata, orang yang bijaksana akan memprotes dengan cara lain yang melambangkan kewarasan dan berasaskan etika.

"Ada banyak cara (untuk memprotes). Cara seperti separuh bogel atau berbogel adalah sikap yang melampau.

"Adakah telah miskin idea untuk menzahirkan protes sehingga boleh berfikir hendak berbogel?" katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Wan Mohamad berkata, kumpulan itu perlu kembali kepada kewarasan dan memikirkan kesan jangka panjang terhadap keluarga mereka jika meneruskan demonstrasi 'bogel' tersebut.

Jumaat lalu, Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar mengancam untuk berbogel di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) yang menempatkan pejabat Menteri Besar dan Exco bagi mendesak kerajaan negeri agar tidak membuat tindakan yang tidak menguntungkan rakyat.

Antara perkara yang menyebabkan kemarahan Reformis adalah tindakan kerajaan negeri menaikkan sewa bulanan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 sebulan kepada RM250 sebulan yang didakwa membebankan penyewanya yang kebanyakannya berpendapatan RM500 sebulan.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Reformis jika mereka masih berkeras mahu mengadakan demonstrasi 'bogel' tersebut.

Katanya, tindakan terhadap mereka boleh dikenakan di bawah peruntukan mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang menetapkan denda maksimum RM1,000.

Artikel Sebelum

Tiga disyaki bookie ekor ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain