suria

ADUN Kuala Nerang bebas muflis tiada pilihan raya kecil

[DIKEMAS KINI] KUALA NERANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim (gambar) berkata, beliau sudah menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengesahkan spekulasi pilihan raya kecil tidak timbul lagi kerana isu itu "kini hanya bersifat akademik kerana sudah ada penyelesaian."

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan soal muflis sudah selesai kerana kedua-dua pihak yang terbabit iaitu Syed Sobri dan bank telah mencari jalan penyelesaian.

"Jadi soal pilihan raya kecil tidak timbul lagi," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau mengakui SPR ada dimaklumkan tentang status muflis ADUN itu sebelum ini.

"Tetapi kini sudah selesai," kata beliau kepada mStar Online.

Syed Sobri yang dipetik Bernama berkata, peguam beliau telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah 3 November lepas yang mengisytiharkan dirinya muflis.

"Perintah dari mahkamah pun belum dikeluarkan," kata beliau, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap, kepada pemberita pada majlis khatan perdana anjuran Kelab Kebajikan dan Sosial Kakitangan Hospital Kuala Nerang dan Adun Kuala Nerang di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Kedah berkemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan ADUN Kuala Nerang itu muflis.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.

Artikel Lain