suria

Azhar tolak pemberian elaun untuk Ketua Pembangkang

PULAU PINANG, 14 Nov: Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim menolak pemberian elaun sebanyak RM1,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri kepada ketua pembangkang di negeri ini.

Peruntukan elaun itu yang terkandung dalam Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (Saraan) (Pindaan) 2008 telah diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Azhar yang juga Setiausaha Umno negeri berterima kasih dan menghargai kesungguhan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Lim Guan Eng atas inisiatif itu.

"Saya menghargai pemberian itu tetapi saya menolak peruntukan itu dan menyerahkannya semula kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2009 pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau berkata penolakan elaun itu dibuat atas beberapa sebab iaitu berdasarkan keadaan kegawatan ekonomi ketika ini, peruntukan itu lebih sesuai diguna untuk rakyat dan pembangunan negeri. Selain itu Azhar tidak mahu dirinya terkongkong dan tidak bebas menyuarakan pendapat serta merasa terhutang budi dengan kerajaan negeri kerana pemberian elaun itu.

"Sebab ketiga ialah saya tidak mahu diri saya dijadikan sebagai rujukan kepada negerinegeri lain supaya ketua pembangkang diberi elaun," katanya.

Azhar berkata beliau akan mengesahkan penolakan elaun itu pada persidangan DUN Isnin ini.

Ditanya sama ada terdapat faktor lain yang menyebabkan beliau menolak pemberian itu, Azhar berkata: "Saya sendiri yang menolak elaun ini...Ini keputusan peribadi saya kerana wang itu juga untuk kegunaan peribadi saya. Jumlah elaun itu juga bukan persoalan utama".BERNAMA

Artikel Lain