suria

Altantuya Pendakwa tidak rayu Razak boleh rasa lega

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, yang dilepaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kini boleh menarik nafas lega apabila pihak pendakwaan mengesahkan tidak akan merayu terhadap keputusan pembebasannya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua minggu lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan kes itu, berkata pihak pendakwaan tidak akan memfailkan rayuan atas alasan hakim yang memutuskan kes telahpun membuat penemuan fakta dalam membebaskan Abdul Razak.

"Tiada komen lanjut memandangkan perbicaraan kes akan bersambung bagi pembelaan Azilah dan Sirul," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 31 Okt lepas, Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya. Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 Jan tahun depan untuk kedua-dua mereka mengemukakan keterangan membela diri. BERNAMA

Artikel Lain