suria

Belum masanya UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera

PETALING JAYA: Masanya belum tiba untuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera kerana sasaran 30 peratus penyertaan bumiputera dalam bidang industri di peringkat profesional dan separa profesional masih belum tercapai, kata pengarah pertama institut itu Tan Sri Dr. Arshad Ayub.

Beliau berkata, pihak yang menggesa agar kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera perlu menghayati terlebih dahulu tujuan asal penubuhan institusi itu yang berlandaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Kemudian kita tanya sudahkah kita mencapai tujuan asal, tujuan pokok. Kalau tanya saya, belum lagi tercapai, belum dapat dicapai sepenuhnya, sungguhpun angka bertambah, tetapi kalau kita tengok peratus, masih lagi kurang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran autobiografinya yang berjudul A Second Chance: Life and Mission of Arshad Ayub di UEM Leadership Centre, di sini hari ini.

Katanya walaupun ramai Bumiputera telah membuktikan kebolehan mereka menerajui sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi penyertaan Bumiputera dalam syarikat bukan GLC dan multinasional masih kurang dan tidak mencapai sasaran 30 peratus.

"Jadi DEB bukan sahaja perlu diteruskan tetapi peluang untuk Bumiputera menjejakkan langkah bagi mendapat peluang pekerjaan dalam industri di peringkat profesional dan separa profesional perlu terus dibuka," katanya.

Beliau berkata, isu penyertaan bukan bumiputera di UiTM tidak perlu diperbesarkan kerana mereka berpeluang untuk memasuki insitusi pengajian tinggi yang lain di negara ini.

"Kita tak payahlah nak sibuk kan pasal ini sebabnya universiti lain pun ada juga. Tempat tu ada dah, bukan tidak dapat masuk, cuma barangkali tidak dapat masuk UiTM sahaja.

"Kalau kita nak katakan (kuota perlu dibuka) dari segi racial harmony (keharmonian kaum), takkan lah di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu selama sepuluh tahun masih tak ada racial harmony," katanya.

Dalam ucapannya, Arshad mengucapkan penghargaan kepada UEM Group kerana menaja penerbitan autobiografinya yang mengisahkan pembabitannya menubuhkan dan membangunkan UiTM kirakira empat dekad lalu.

"Empat puluh tahun lalu keadaan golongan muda Melayu begitu tidak pasti dan tiada hala tuju, ditambah lagi dengan hakikat memiliki sijil yang tak seberapa yang didapati serba kekurangan.

"Hasil visi pucuk pimpinan pada waktu itu, tumpuan telah diberikan untuk menyediakan peluang pendidikan bagi golongan muda bumiputera ini," katanya.

Pada majlis itu, Arshad turut diraikan sempena sambutan harijadinya yang ke-80.

Yang turut hadir ialah pengerusi UEM Group Bhd, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Pardas Senin dan alumni UiTM.

Autobiografi itu yang diterbitkan MPH dan berharga RM80 senashkah, antara lain mendedahkan bagaimana Arshad, yang dikenali sebagai "bapa pembangunan UiTM" menetapkan tiga tahap komitmen dalam tugasnya, pertama visinya bagi memastikan pencapaian UiTM selaras dengan objektif DEB.

Keduanya, strateginya bagi pemasaran graduan UiTM dan menjadikan mereka lebih diterima oleh sektor swasta dan akhirnya memastikan penyertaan mereka dalam sektor swasta akan meningkatkan lagi kedudukan dan masa depan golongan bumiputera.

A Second Chance: Life and Mission of Arshad Ayub ditulis oleh ahli sosiologi dan bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr. Rokiah Talib.

Buku itu juga memuatkan kisah kesempitan hidup yang dilalui Arshad, yang berasal dari Parit Korma Laut, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor, yang terpaksa mengambil upah sebagai tukang cuci untuk menyara empat adik beradiknya selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Arshad yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara, dan Ketua Setiausaha di tiga kementerian, dipilih untuk menerajui UiTM oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 1965.

Di bawah pimpinan Arshad, lulusan UiTM diterima masuk ke Universiti Ohio jika mereka mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana, menerusi program akademik yang dimeterai pada September 1968.

Beliau amat berhati-hati dalam membuat pemilihan kursus dan program bagi UiTM, kadang kala mewujudkan kursus baru dan ada antara kursus itu diilhamkan sendiri oleh Arshad, menurut buku itu. BERNAMA

Artikel Lain