suria

Suri rumah beli jam tangan Rolex dengan kad kredit palsu

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli sebuah jam tangan mewah bernilai RM14,000 di sebuah pusat membeli-belah di sini minggu lepas.

Loh Yin Fun, 40, yang tinggal di Taman Keramat di sini, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan kad kredit atas nama Linda Goodman untuk membeli jam tangan berjenama Rolex Submariner.

Dia juga didakwa cuba menipu Syarikat Wooshing KL dengan cuba memperdaya jurujual Chia Kam Yen, 66, bahawa dia adalah pelancong asing bernama Linda Goodman.

Keduadua kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai jam Wooshing KL di Kompleks Membeli-Belah Lot 10, Jalan Sultan Ismail di sini pada pukul 4 petang, 30 Okt lalu.

Bagi tuduhan pertama, Loh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tuduhan kedua dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohamed Fadzil menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut tetapi Loh memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana telah diperalatkan oleh suatu pihak.

Loh juga memberitahu bahawa beliau memerlukan wang untuk menanggung perbelanjaan rawatan kimoterapi suaminya yang menghidapi kanser.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain