suria

Shahrizat terus dapat pencalonan Ketua Wanita

Hari ini Shahrizat mendapat satu lagi pencalonan daripada bahagian Hulu Terengganu menjadikan jumlah pencalonan terkumpul yang diterimanya bagi jawatan itu kepada 42, suatu jumlah yang telah melebihi had minimum bagi melayakkan beliau bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan naib ketua Wanita Umno, bahagian Hulu Terengganu mencalonkan ketua Wanita Umno bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim, dan sudah mengumpul 28 pencalonan bagi jawatan itu setakat ini.

Rafidah bagaimanapun masih mengungguli pencalonan bagi jawatan ketua Wanita Umno dengan mengumpul 79 pencalonan termasuk satu lagi pencalonan yang diterima daripada Wanita Umno bahagian Sembrong hari ini.

Persidangan Bahagian Sembrong mencalonkan Shahrizat untuk jawatan naib ketua pergerakan menjadikan jumlah pencalonan terkumpul bagi jawatan itu sebanyak 79.

Pemimpin lain yang telah menerima pencalonan bagi jawatan naib ketua Wanita Umno ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudah mengumpul enam pencalonan, ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (2), Exco Wanita Umno Datuk Dr Norraesah Mohamad (1) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (1).

Sehingga kini 120 daripada 191 bahagian telah menamatkan persidangan masing-masing.

Sementara itu bagi pemilihan Puteri Umno, yang juga akan berlangsung pada Mac tahun depan, naib ketua pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kini menyamai jumlah pencalonan ketua penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin dengan masing-masing memperoleh 44 pencalonan sehingga petang ini.

Rosnah menerima satu pencalonan dari Kota Marudu semalam dan dari Kubang Pasu hari ini, manakala Shahaniza pula memperoleh pencalonan tunggal daripada Hulu Terengganu hari ini.

Sementara itu pengerusi Biro Keahlian Puteri Umno Datin Ismalina Ismail kekal dengan 22 pencalonan, setiausaha Puteri Umno Bibi Sharliza Mohd Khalid (16), ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (7) dan ketua Puteri Umno Terengganu Senator Nordiana Shafie (1). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain