suria

Timbalan Presiden Muhammad Taib belum putus asa

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang belum mendapat bilangan pencalonan 'memberangsangkan' setakat ini yakin akan memperoleh sokongan untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, tidak timbul soal beliau akan menarik diri daripada bertanding kelak.

"Bagi saya, hasrat dan niat untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden sebagaimana saya umumkan sebelum ini tetap akan diteruskan.

"Meskipun saya baru sahaja mendapat tiga pencalonan ia bukan bermakna gambaran sebenar kepada keadaan yang ada," kata beliau dalam blognya.

Muhammad berkata, beliau yakin persidangan hujung minggu ini akan memberikan pencalonan bagi membolehkannya layak untuk bertanding.

"Tidak timbul soal saya akan menarik diri kerana niat dan tujuan saya menawar diri adalah untuk membantu menstabil dan memperkasakan parti.

"Oleh itu saya menyeru pimpinan bahagian akan bersedia memberi sokongan kepada saya agar ahli berpeluang untuk memilih pemimpin secara lebih terbuka," katanya.

Tambah beliau, tidak perlu ujud sikap mana-mana pihak menyekat dan menghalang pihak bahagian dan suara akar umbi bagi mencalonkan saya sebagai timbalan presiden.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak bercadang dan tidak terlintas untuk menarik diri dari calon timbalan presiden kerana niat dan matlamat saya adalah jelas untuk berkhidmat kepada parti," katanya.

Katanya, mana-mana calon yang menawar diri untuk semua jawatan perlu diberi peluang untuk layak bertanding dan "tidak wujud sikap menyekat dan menghalang pencalonan."

Artikel Lain