suria

Hui Yi Saya amat berterima kasih dapat terus hidup

KUALA LUMPUR: Pesakit pemindahan jantung, Tee Hui Yi, atau lebih dikenali sebagai 'gadis ajaib' semalam meluangkan masa dengan 11 pesakit pemindahan jantung lain pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Mereka yang hadir termasuk doktornya, terkejut melihat Hui Yi, 16 yang berseluar pendek warna biru dan baju warna merah jambu, kelihatan sungguh sihat serta berseri-seri dan berisi ketika melangkah masuk ke dewan majlis tersebut.

Ketika bercakap dengan pemberita selepas majlis itu, Hui Yi yang keluar dari IJN Januari lepas berkata beliau berasa sangat sihat seperti gadis lain dan melakukan perkara biasa sejak pulih daripada pemindahan jantung tahun lepas.

"Saya rasa seperti biasa, kata gadis kecil molek itu dan menghabiskan masa bergembira dengan kawan-kawan dan guru-guru di sekolah sambil mengikuti pelajaran yang tertinggal.

Pelajar Tingkatan Empat Convent Batu Pahat, Johor berkata: "saya sedar SPM tahun depan dan perlu mengikuti pelajaran".

Hui Yee yang menjalani pemindahan jantung Oktober tahun lepas, berkata beliau kini sedar bahawa nyawa itu memang berharga selepas menunggu tiga tahun untuk penderma jantung.

Sementara itu Perunding Kardiotorasik Dr Mohamed Ezani Mohammad Taib berkata: "Hari ini ialah ulang tahun pertama kejayaan saya dalam pembedahan jantung...Dia seorang inspirasi kepada orang lain yang menghidap penyakit ini dan menunggu untuk dibedah".

Hui Yee pula berkata beliau bersedia memberikan sokongan moral kepada pesakit sepertinya sebelum menjalani pemindahan, jika diperlukan.

Katanya beliau berada di IJN untuk memberikan sokongan dan kekuatan kepada seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Ipoh, setelah dimasukkan alat membantu fungsi jantung (PVAD), Ogos lepas. BERNAMA

Artikel Lain