suria

Pak Lah akan pertahan jawatan Ketua Umno Kepala Batas

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau kemungkinan besar akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Umno Kepala Batas walaupun akan bersara dari jawatan Presiden Umno pada Mac ini.

"Kemungkinan besar (akan pertahan jawatan). Saya pasti mereka tidak akan benarkan sesiapa untuk ambil (jawatan itu)," katanya selepas merasmikan Institut Pengajian Kemajuan Islam, di sini, hari ini.

Ditanya jika ada mana-mana bahagian Umno Pulau Pinang yang masih mahu mencalonkannya sebagai Presiden, Abdullah berkata, beliau telah memberi penjelasan kepada mereka berhubung hal tersebut dan mereka memahaminya.

Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai perancangan untuk bercuti sebelum bersara kerana mempunyai pelbagai tugas untuk dilaksanakan.

"Kenapa nak ambil cuti? Cuti adalah keputusan individu. Saya ada kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana beliau mahu diingati selepas bersara nanti, Abdullah berkata hal seperti itu tidak perlu diperkatakan.

"Kalau mereka mahu ingat, mereka ingat..kalau mereka tidak ingat, tidak ingat.

"Saya hanya tahu apa yang saya perlu lakukan. Saya bukan melakukan sesuatu supaya orang mengingati saya. Itu bukan pendekatan saya.

"Pendekatan saya adalah apa yang diperlukan hari ini, apa yang diperlukan untuk masa depan dan saya percaya misi nasional saya akan memberi pergerakan yang dinamik sebelum kita menekankan kepada pembangunan sumber manusia, kepentingan untuk mencapai mentaliti kelas pertama dan kepentingan menambah nilai," katanya.

Perdana Menteri berkata, perancangan untuk menambah nilai, meningkatkan kualiti pendidikan, pengetahuan untuk melakukan penyelidikan dan kualiti hidup serta merapatkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin perlu diteruskan.

"Ini sesuatu yang pasti kita perjuangkan untuk bertahun-tahun dan tahun-tahun yang akan datang. Ini bukan sesuatu yang hanya relevan untuk hari ini dan tidak relevan untuk esok," katanya.

Abdullah juga berasa yakin akan dapat melaksanakan lima inisitif yang diumumkannya semalam sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan negara yang dipegang kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Najib juga akan meneruskan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya.

"Beliau (Najib) ada menyatakan semalam yang Islam Hadhari akan akan menjadi satu daripada strategi untuk pembangunan negara yang akan diteruskan," katanya.

Berhubung salah faham di kalangan orang ramai berhubung konsep Islam Hadhari, Abdullah berkata, beliau percaya Islam Hadhari merupakan sesuatu yang boleh diterima dan membawa kebaikan kepada negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

"Sesuatu idea seperti ini bukan senang kita nak kembangkan dan ia akan menjadi lebih susah apabila dilihat dari kaca mata parti politik masing-masing.

"Saya percaya, kalau kita buat betul-betul, orang akan memahami," katanya.

Katanya, prinsip dalam Islam Hadhari mempunyai nilai universal dan tidak wujud halangan atau terlalu tidak boleh diterima oleh agama lain.

"Bila kita ada agama, agama masing-masinglah tapi bila sebut tentang Islam Hadhari, maka kita sebut tentang setia pada Allah tapi pada yang bukan (Islam), tentulah mengikut kepercayaan agama masing-masing. Samalah dengan Rukun Negara yang pertama itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai lain-lain pembaharuan untuk dilaksanakannya sebelum bersara, Abdullah berkata: "Tak tahu lagi...satu-satu la, jangan banyak-banyak sangat.

"Nanti orang kata, sengaja nak banyakkan sebab nak duduk lama-lama lagi," katanya.

Beliau juga mahu mesyuarat bahagian yang bermula hari ini berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden pergaduhan.

Ditanya mengenai pandangannya bagi seseorang yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, Abdullah berkata, orang tersebut mestilah orang yang boleh membantu Presiden dalam menjalankan tugas.

Artikel Lain