RAMAI tersentuh hati selepas melihat gambar sesi tamat persekolahan istimewa diambil sekumpulan pelajar sekolah bersama rakan sekelas yang sedang terlantar sakit di hospital.
Lebih menyedihkan, sehari kemudian pelajar itu menghembuskan nafas terakhir.
Pada 17 Mei lalu, lebih 50 pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Yilong di wilayah Sichuan, barat daya China, berjalan sejauh dua kilometer bersama guru-guru mereka dari sekolah ke Hospital Rakyat Yilong.
Tujuan mereka adalah untuk mengambil gambar tamat sesi persekolahan khas bersama rakan sekelas mereka, Ren Junjie, yang sedang tenat akibat menghidap limfoma bukan-Hodgkin, sejenis kanser yang menyerang sistem limfa.
Ren, 15, berhenti sekolah tahun lalu untuk menjalani rawatan dan baru-baru ini dipindahkan kembali ke hospital berhampiran rumahnya.
Walaupun para pelajar sedang bersiap sedia menghadapi peperiksaan kemasukan ke sekolah menengah atas yang dianggap sangat penting di China, kesemua rakan sekelas Ren tetap hadir apabila guru mencadangkan untuk mengambil gambar bersama.
Malah, beberapa rakannya masuk ke wad untuk membantu Ren memakai pakaian seragam sekolah dan menolaknya ke kawasan luar hospital dengan katilnya.
Mereka bergambar di samping katil Ren dan ia dianggap sebagai gambar graduasi paling menyentuh hati di dunia.
Rakan-rakan Ren turut membawa surat berisi kata-kata semangat, hadiah seperti bola keranjang yang ditandatangani semua pelajar, termasuk nama Ren sendiri.
“Saya harap awak cepat sembuh dan kembali bersama kami.
“Saya kagum dengan keberanian awak melawan penyakit ini. Cepat sembuh dan main permainan komputer dengan kami semula,” tulis rakannya.
Salah seorang ahli keluarga Ren memuat naik gambar dan hadiah tersebut ke media sosial, mengucapkan terima kasih kepada para pelajar dan guru atas keprihatinan mereka, serta mendoakan kejayaan mereka dalam peperiksaan akan datang.
Namun, Ren menghembuskan nafas terakhir keesokan harinya, pada pukul 4 pagi sebulan sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-16.
Seorang ibu kepada rakan sekelas Ren memaklumkan bahawa anaknya menelefonnya sambil menangis sebaik mengetahui berita pemergian Ren.-Agensi


