suria

Rider ditahan ragut beg warga Britain, mencuri sebab tak cukup duit sara 2 isteri

Suspek ditahan selepas polis berjaya mengumpul bukti kukuh mengenai kegiatan ragut yang dilakukan.

AKIBAT terdesak untuk menyara dua isteri, seorang lelaki berusia 33 tahun sanggup melakukan jenayah ragut.

Dia bagaimanapun ditahan polis pada Selasa lalu, susulan kes ragut membabitkan seorang wanita warga Britain yang berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah malam, 13 Disember 2025.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bangkok, Thailand.

Berdasarkan laporan, suspek ditahan selepas pasukan polis berjaya mengumpul bahan bukti termasuk motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

Ketika disoal siasat, suspek mendakwa pendapatannya sebagai pemandu e-hailing motosikal tidak mencukupi.

Keterdesakan dialami itu sekali gus mendorongnya melakukan jenayah bagi mendapatkan wang tambahan untuk menyara dua isterinya.

Dia kemudian diserahkan kepada penyiasat Balai Polis Bang Rak untuk tindakan lanjut, manakala proses perundangan sedang dijalankan.

Terdahulu, kejadian ragut berlaku ketika mangsa berusia 21 tahun sedang berjalan di laluan pejalan kaki sebelum suspek berjalan melepasinya.

Beberapa saat kemudian, suspek kembali bersama rakan subahat dengan menunggang motosikal sebelum menghampiri mangsa dari arah belakang dan merampas beg tangannya.

Antara barangan dilaporkan hilang termasuk beg tangan jenama Jim Thompson, telefon bimbit iPhone 17 Pro Max berwarna perak, dua gelang Pandora serta wang tunai kira-kira 3,000 baht (RM374). -Agensi

Artikel Lain