suria

Maut kerana labu siam... Pengawal belasah lelaki sampai mati, dakwa mangsa mencuri di kebun

Lokasi berlakunya pergaduhan antara mangsa dan suspek. -Foto Kompas.com

SEORANG lelaki maut dipercayai akibat dipukul selepas didakwa mencuri dua biji labu siam dari kebun milik seorang individu.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku di Kampung Talaga, Daerah Cugenang, Jawa Barat, Indonesia.

Berdasarkan laporan, mangsa berusia 56 tahun meninggal dunia pada Isnin selepas dua hari menahan kesakitan susulan serangan yang berlaku pada petang 28 Februari.

Ketua Polis Cugenang, Pesuruhjaya Usep Nurdin berkata, kejadian berlaku apabila seorang pengawal kebun berusia 41 tahun mendakwa mangsa mengambil dua biji labu siam dari kebun yang dijaganya.

Susulan itu, suspek kemudian mengejar mangsa sehingga ke hadapan rumah sebelum bertindak menyerang lelaki itu.

"Akibat serangan, mangsa mengalami lebam pada bahagian mata, kepala dan leher selain kecederaan pada bahu serta lengan. 

"Mangsa juga dilaporkan mengalami pendarahan dari hidung,” katanya pada Rabu.

Selain kesan kecederaan, mangsa turut dilaporkan mengalami pening teruk, muntah serta terhuyung-hayang sejurus kejadian berlaku.

Adik mangsa yang menyaksikan insiden itu cuba meleraikan pergaduhan berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Tambah Usep, mangsa dipercayai sempat mengakui perbuatannya yang mengambil dua biji labu siam sebelum meninggal dunia di rumahnya.

Susulan laporan diterima, polis bertindak menahan suspek bagi membantu siasatan.

Kes kini masih dalam siasatan lanjut oleh Polis Cugenang mengikut prosedur undang-undang yang berkuat kuasa. -Agensi

Artikel Lain