SEORANG lelaki warga emas didakwa merempuh sekumpulan pelanggan di sebuah kedai makan sehingga mencederakan tujuh individu termasuk bekas isterinya, pada Isnin.Susulan insiden kira-kira pukul 9 malam di sebuah kedai makan di Chanthop Phet, Thailand itu, suspek berusia 62 tahun ditahan polis. Menurut polis, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai rempuhan pikap jenis Toyota di sebuah ruang makan pelanggan.Akibat kemalangan tersebut, tujuh individu dilaporkan cedera, termasuk dua wanita yang mengalami kecederaan parah.Bekas isteri suspek yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke Hospital Ban Kruat untuk rawatan lanjut.Menurut laporan Thaiger, salah seorang saksi memaklumkan kumpulan tersebut sedang berkumpul bagi meraikan seorang rakan yang bakal berhijrah ke luar negara.Saksi sama turut mendakwa kenderaan terbabit dilihat berlegar kedai makan itu beberapa kali sebelum tiba-tiba memecut ke arah pelanggan.Seorang ahli keluarga mangsa pula percaya kejadian itu mungkin didorong rasa cemburu selepas pemandu berusia 62 tahun itu dilaporkan berpisah dengan bekas isterinya kira-kira 15 hari sebelum kejadian.Malah wanita terbabit didakwa bersama dengan kekasihnya yang merupakan seorang anggota polis pada masa kejadian berlaku.Walau bagaimanapun, pemandu terbabit menafikan sengaja melanggar kumpulan itu dan mendakwa kejadian berlaku secara tidak sengaja selepas telefon bimbitnya terjatuh ketika memandu.Menurutnya, dia membongkok untuk mengambil telefon tersebut sebelum mendapati kenderaannya sudah merempuh pelanggan.Terdahulu, rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan pelanggan sedang menikmati makanan sebelum sebuah trak kelihatan menghampiri kawasan kedai makan, menyebabkan orang ramai panik dan cuba melarikan diri.Beberapa saat kemudian, pikap berwarna putih itu dilihat merempuh kawasan berkenaan.