suria

Berang dituduh curang, lelaki tikam isteri dan ibu mentua sampai habis nyawa

Setiap perbuatan jenayah perlu diberi pengadilan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai menikam hingga mati isteri serta ibu mentuanya dalam satu kejadian tragis yang didakwa berpunca daripada konflik rumah tangga.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Godavari Timur, Andhra Pradesh, India pada awal pagi Selasa.

Menurut polis, suspek Chodadasi Sitaramaraju, 36, didakwa melakukan serangan itu selepas dituduh menjalin hubungan dengan wanita lain.

Suspek pada awalnya menyerang isterinya, Latha, 32, menggunakan pisau sebelum menikam wanita itu sehingga maut di lokasi kejadian.

Ibu mentuanya, Gummadi Lakshmi, 50, yang cuba menghalang serangan tersebut turut menjadi mangsa apabila diserang suspek sehingga meninggal dunia.

Kedua-dua mereka telah berkahwin selama 15 tahun dan mempunyai tiga orang anak.

Namun sejak kebelakangan ini, hubungan mereka dilaporkan tegang akibat pertengkaran berterusan berkaitan dakwaan hubungan sulit suspek dengan wanita lain dari kampung sama.

Akibat perselisihan tersebut, pasangan itu tinggal berasingan dengan isteri serta anak-anak menetap bersama ibu mangsa.

Namun pada malam Isnin, suspek dikatakan datang ke rumah isterinya sekitar tengah malam bersama tiga rakannya.

Pertengkaran yang berlaku mendorong suspek melakukan serangan dan menikam kedua-dua mangsa.

Selepas kejadian, suspek dipercayai membuang senjata digunakan ke dalam Sungai Godavari sebelum menyerah diri di Balai Polis Seethanagaram pada awal pagi Selasa.

Kes kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain